Makin Ramai Lelaki Bedah Buah Dada?


SAMERAN Gupta, 20, merupakan seorang pemuda yang sihat dan bekerja di sebuah firma teknologi maklumat terkemuka.

Namun dia mula mengalami tekanan dan memilih untuk menjauhkan diri daripada kawan-kawan selepas menyedari terdapat perubahan saiz di bahagian dadanya.

Teman wanitanya yang bimbang dengan keadaan itu memaksa Sameeran berjumpa dengan doktor sebelum dia disahkan menghidap gynaecomastia iaitu gejala pembesaran buah dada lelaki.

"Saya sedar ada perubahan tidak normal di bahagian dada sejak beberapa bulan lalu. Ia amat memalukan dan memberi tekanan kepada saya.

"Pemeriksaan kesihatan mengesahkan yang saya menghidapi gynaecomastia dan saya sudah pun menjalani pembedahan mengecilkan buah dada," ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Anup Dhir, pakar bedah kosmetik plastik dan andrologi kanan di Hospital Apollo memberitahu Mail Today bahawa pembedahan mengecilkan payudara lelaki adalah amalan biasa dalam masyarakat urban hari ini.

"Trend ini semakin meningkat dalam kalangan orang muda kerana mereka terpengaruh dengan filem yang memaparkan dada pelakon lelaki yang terbentuk cantik.

"Namun, pembesaran buah dada sememangnya satu isu kesihatan yang serius. Kita melihat kira-kira 10 kes sebulan dan hanya dua atau tiga pesakit yang akan menjalani pembedahan gynaecomastia.

"Kos pembedahan ini dianggarkan antara INR75,000 (RM4,551) hingga INR150,000 (RM9,102)," katanya.

Pengerusi jabatan pembedahan plastik Hopsital Sir Ganga Ram, Dr Mahesh Mangal berkata: "Kami pernah menjalani pembedahan pengurangan saiz buah dada lima pesakit lelaki dalam setahun. Kini, trend meningkat sehingga ada lima kes setiap bulan.

"Pesakit paling muda berusia 13 tahun. Ia sebenarnya disebabkan ketidakseimbangan hormon dalam badan," ujar Dr Mahesh.

Gynaecomastia boleh diubati dengan mudah hanya dengan membuang lebihan lemak dan tisu glandular dengan kaedah liposuction (pembuangan) dan excision (pemotongan).

Satu torehan kecil akan dibuat di bawah bahagian payudara sebelum jarum penyedutan dimasukkan.

Prosedur pembedahan memakan masa satu hingga dua jam sahaja sebelum lemak dan tisu grandular dikeluarkan menerusi torehan yang dibuat.

Antara kelebihan pembedahan gynaecomastia ialah ia tidak meninggalkan banyak parut dan hanya mengambil masa yang singkat untuk sembuh. 

Sumber: Mail Today

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com