Mahkamah Tetapkan 4 April Dengar Permohonan PM


KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini, semalam, menetapkan 4 April depan untuk mendengar permohonan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab Rauf Yusoh membatalkan pembelaan Mkini Dotcom Sdn Bhd (Malaysiakini).

Hakim Datuk Kamaludin Md Said menetapkan tarikh itu selepas bertemu peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Najib dan Ab Rauf serta peguam A Surendra bagi pihak Mkini Dotcom, di kamarnya di sini.

Sementara itu, Hafarizam berkata, hari ini sepatutnya ditetapkan untuk pendengaran tetapi ia ditangguhkan ke tarikh lain.

"Penangguhan itu dibuat bagi menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan membabitkan kes Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chin Jen.

"Ia berhubung isu locus standi (hak di sisi undang-undang) iaitu sama ada individu yang memegang jawatan awam boleh memfailkan saman fitnah atas kapasiti peribadi," katanya.

Pada 30 Mei 2014, Najib yang mengemukakan saman itu atas kapasiti peribadi dan Ab Rauf memfailkan saman terhadap portal berita Malaysiakini dan dua lagi berhubung komen pembaca terhadap sebuah artikel yang diterbitkan dalam laman web mereka.

Dalam saman itu, mereka menamakan Mkini Dotcom Sdn Bhd, Ketua Editor Malaysiakini, Steven Gan dan Ketua Pengarang, Fathi Aris Omar sebagai defendan.

Ia berhubung kompilasi komen pembaca dalam dua artikel bagi ruangan Yoursay yang disiarkan pada 14 Mei 2014 iaitu 'A case of the PM reaping what he sows' dan 'How much will Najib spend to keep Terengganu?'.

Mereka mendakwa artikel itu mencemarkan reputasi dan menimbulkan andaian UMNO tidak kompeten sebagai sebuah badan politik dan tunjang Barisan Nasional (BN).

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com