Mahfuz Dakwa Bintang Kebesaran 'Tiada Nilai' Lagi Di Mata Rakyat?


Selepas memohon maaf kepada Istana Pahang kerana didawa menghina Sultan Ahmad Shah apabila  menyamakan kedudukan baginda dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam satu ceramah politik, Ahli Parlimen Pokok Sena,  Datuk Mahfuz Omar 'buat hal' dengan pihak Istana Kelantan pula.

Mahfuz Omar mendakwa penarikan semula darjah dan bintang kebesaran beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) menjadikan anugerah darjah dan bintang kebesaran 'tidak lagi bernilai di mata rakyat.'

Menurut bekas Naib Presiden PAS dan bekas Pesuruhjaya PAS Kedah itu perkara berkenaan terjadi ketika pemimpin kleptokrat yang ditolak rakyat masih menyandang anugerah-anugerah dan gelaran-gelaran tersebut.

Mahfuz yang meninggalkan PAS akhir Disember lalu itu membuat kenyataan itu merujuk kepada keputusan pihak istana Kelantan baru-baru ini yang menarik semula darjah dan bintang kebesaran Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad, Naib Presiden PAN Husam Musa dan Pengerusi PAN, Wan Abd Rahim Wan Abdullah.

Perlu disebut, Dr. Mahathir sebelum itu memulangkan dua anugerah kebesaran Negeri Selangor  pada 7 Disember lalu walaupun tiada permintaan daripada pihak Istana.

Selepas mengembalikan anugerah itu Dr. Mahathir memberitahu bahawa beliau merasakan tidak layak menerima anugerah dari Negeri Selangor itu.

Pemulangan pingat oleh Dr. Mahathir itu dibuat selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah murka terhadap kenyataan Dr Mahathir yang didakwa menghina masyarakat Bugis.

Dewan Diraja Selangor pada 2 November tahun lalu mengeluarkan kenyataan menyebut Sultan Selangor memandang serius, murka dan amat kecewa dengan kenyataan Dr Mahathir itu.

Mengulas penarikan pingat oleh Istanan Kelantan, Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Nik Zawawi Nik Salleh berkata bekas pemimpin PAS seharusnya mengambil pendekatan berjiwa besar dan bukannya mempertikaikan sebarang keputusan yang dibuat institusi di raja.

Beliau berkata, bekas pemimpin PAS itu nampaknya sedang berada dalam keadaan tertekan dengan  mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya.

Ini juga mungkin juga balasan dan akibat yang diterima mereka selepas melanggar sumpah bai'ah yang telah dilafazkan ketika berada di dalam PAS, kata Dr Nik Zawawi yang dipetik daripada Antarapos semalam.

"Kenyataan (Mahfuz) itu memberi gambaran bahawa mereka (yang keluar PAS) sudah berada di zon yang sangat tertekan apabila parti mereka tidak mendapat sambutan dalam kalangan rakyat.

Mereka keluar daripada PAS beramai-ramai dan Alhamdulillah tidak ada yang mengikut mereka kecuali jumlah yang sangat sedikit, " kata beliau.

"Kenyataan-kenyataan sedemikian menggambarkan macam orang yang merajuk, orang yang bercakap tanpa matlamat perjuangan yang jelas,  apa perkara sahaja pun dia komen, dan bagi saya mereka yang melanggar baiah yang dibuat di dalam PAS tidak akan selamat di dunia dan akhirat," katanya.

Sementara itu menurut  Nik Zawawi,  adalah hak istana untuk menarik balik darjah kebesaran yang dianugerahkan.

Mahfuz sebagai seorang pemimpin tidak sepatutnya mengeluarkan sebarang kenyataan yang seolah-olah mempertikaikan keputusan tersebut.

"Itu hak Tuanku, jadi kalau Tuanku bagi anugerah sesuatu darjah, tiba-tiba dia komen tidak bernilai atau apa sahaja, sedangkan dia terima, jadi ini satu kenyataan yang tidak sepatutnya keluar daripada mulut seorang yang dianggap pemimpin.

"Kalau dia rasa dia pemimpin yang berjiwa besar, dia tidak boleh keluarkan kenyataan sedemikian," ujarnya lagi.

Minggu lalu, istana Kelantan dilaporkan menarik balik darjah kebesaran yang dikurniakan ke atas mantan Perdana Menteri, Dr Mahathir.

Penarikan balik pingat kebesaran darjah kebesaran itu dinyatakan pihak istana melalui sepucuk surat bertarikh 6 Februari lalu dan dihantar ke rumah Dr Mahathir di Seri Kembangan.- Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com