Mahathir Tidak Boleh Bangun Langkawi Tanpa Sokongan Kerajaan BN


Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed tidak mungkin dapat membangunkan Langkawi berseorangan tanpa sokongan jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN), kata Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata meskipun Dr Mahathir dianggap banyak berjasa kepada pembangunan di pulau ini, kemajuan itu tidak mungkin berlaku tanpa sokongan parti yang telah mengangkatnya menjadi perdana menteri.

"Bayangkan kalau Barisan Nasional tidak ada kuasa, tidak ada peruntukan, Langkawi tidak akan membangun," katanya pada program Dialog Santai Bersama Anak Muda Langkawi di sini malam tadi.

Mengakui rakyat di Langkawi masih merasai nostalgia semasa Dr Mahathir masih memegang tampuk pemerintahan negara, Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO berkata mereka seharusnya memikirkan tentang masa depan golongan muda.

"Kita kenang dan berterima kasih kepada Dr Mahathir tetapi untuk 10 hingga 30 tahun akan datang, kita perlu memberikan sokongan kepada pemimpin parti yang mampu untuk terus membawa kemajuan kepada rakyat kita," katanya.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan itu berkata perancangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengangkat reputasi Langkawi sehebat Monaco di Eropah bukannya bermaksud meniru bulat-bulat tarikan pelancongan yang ada di pusat peranginan terkenal itu.

Katanya idea perdana menteri menjadikan Langkawi sebagai 'The Monaco of the East' bertujuan untuk menjadikan pulau ini lebih menarik kepada pelancong-pelancong mewah yang seterusnya dapat meningkatkan ekonomi rakyat di pulau ini.

"Bukannya kita bercadang hendak mewujudkan kasino seperti mana di Monaco tetapi kita ada acuan tersendiri untuk membangunkan Langkawi supaya dapat menjadi lebih terkenal (sebagai pusat pelancongan mewah)," katanya.

Dialog yang bertujuan untuk menjelaskan isu-isu semasa kepada golongan belia di sini turut dihadiri Anggota Parlimen Langkawi Datuk Nawawi Ahmad, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Hangat Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid, ADUN Kuah Nor Saidi Nanyan, Ketua Penerangan UMNO Kedah Datuk Othman Abdul dan Presiden 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy.

 -Bernama.

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com