Maahad Tahfiz Di Sungai Petani Terapkan Kemahiran Menjahit Pada Pelajar


SUNGAI PETANI - Proses pembelajaran me­ngikut syariat Islam tidak hanya terbatas kepada ilmu akhirat semata-mata, sebaliknya wajar diseimbangkan dengan ilmu keduniaan.

Ini yang dilakukan pihak pe­ngurusan Maahad Tahfiz al-Quran Ummul Qura (MTUQ) di Kampung Alor Nibong, Kota Kuala Muda di sini apabila memilih untuk menerapkan beberapa bidang kemahiran kepada pelajarnya.

Malah, dengan penekanan bidang kemahiran ini, ia dijangka dapat memberi tambahan pendapatan kepada pusat tahfiz berkenaan selain itu memboleh­kan pelajar menjalani kehidupan dalam keadaan selesa setelah menamatkan pengajian di tahfiz itu kelak.

Apa yang lebih baik, selain mendapat ilmu agama, pelajar terbabit memperoleh kemahiran untuk memajukan diri serta mengembangkannya menjadi sumber pendapatan keluarga ma­sing-masing kelak.

Yang Dipertua merangkap Pengetua MTUQ, Noorhayati Saaidin berkata, seramai 10 pelajar menjadi kumpulan perintis pertama terlibat dalam kursus menjahit yang diperkenalkan pihaknya.

“Kita menyediakan segala kelengkapan jahitan untuk mereka bersama seorang tenaga pengajar berkelayakan.

“Malah sijil penyertaan akan dikeluarkan sebaik mereka selesai mengikuti tahap empat kursus jahitan ini yang secara langsung akan membolehkan mereka menjana ekonomi masing-ma­sing kelak,” katanya di sini baru-baru ini.

Menurutnya, pelajar hanya dikenakan bayaran RM300 ketika pendaftaran manakala latihan adalah percuma, tetapi diwajibkan mengikuti kuliah agama dan pengajian al-Quran sebelah pagi dan masa lain yang ditetapkan.

Katanya, pihaknya juga me­rancang untuk menyediakan keperluan tersebut kepada 50 pelajar lagi pada masa depan.

Menurutnya, sesuai dengan sasaran melahirkan Muslimah yang boleh menjana pendapatan sendiri, pihaknya turut memberi elaun kepada pelajar terbabit.

“Bagi pelajar lelaki pula, kami dalam perancangan mendedahkan mereka dengan bidang kemahiran pemasangan alat elektronik dan bengkel makanan ringan,” katanya.

Katanya, pendekatan tersebut bertujuan mengelak persepsi negatif yang sering melihat pusat tahfiz beroperasi hanya berdasarkan kutipan derma semata-mata.

Seorang pelajar, Nur Alina Ali, 21, berkata, dia sememangnya teruja mengikuti kursus kemahiran dalam bidang jahitan kerana bercita-cita menjadi usahawan pakaian.

“Kami diwajibkan mengikuti pengajian agama yang menjadi asas untuk pelajar di sini selain memenuhi masa terluang dengan mengasah bakat untuk bergelar tukang jahit.

“Tidak rugi belajar menjahit kerana boleh menambah pengetahuan dan jika dilakukan bersungguh-sungguh, tidak mustahil mampu menjana pendapatan lumayan,” katanya.

Siti Amirah Mohd Fauzi, 19, yang bercita-cita menjadi pereka fesyen Muslimah menganggap kursus yang diberikan kepada mereka sebagai peluang yang tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.

“Biasanya kita hanya belajar ilmu akhirat tetapi apabila didedahkan dengan kursus menjahit ini, ia menjadi laluan melahirkan insan berkebolehan dalam dua bidang serentak.

“Kita seolah-olah mempu­nyai tujuan hidup kerana boleh mengimbangi antara dunia dan akhirat,” katanya.

Pelajar terbabit beruntung kerana mereka diajar oleh Hafiza Hashim, 43, yang merupakan guru berpengalaman dan bidang tersebut.

“Hasrat saya ialah ingin melahirkan pereka fesyen dan usahawan pakaian yang bukan sahaja mahir, malah mempunyai didikan agama sempurna kelak.

“Malah secara tidak langsung mampu memberi pendapatan untuk membolehkan mereka meningkatkan pendapatan ma­sing-masing,” katanya.

Katanya, bagi memahirkan pelajar dalam bidang jahitan, dia bersama dengan pentadbiran MTUQ sedia menerima tempahan jahitan pakaian secara pukal daripada mana-mana pihak.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com