Luar Macam Kedai Makan Cina, Tapi Melayu Yang Jual


IPOH - Sekali tengok suasanya, mesti orang ingat kedai makan Cina, lebih-lebih lagi apabila makanan yang disediakan merupakan menu kegemaran kaum Tionghua.

Tapi tak sangka pula, rupa-rupanya Restoran Nasi Ayam Tauge yang terletak di Taman Ipoh Timur Baru ini diusahakan oleh orang Melayu.


Difahamkan, kewujudannya bukan sahaja sahaja memberi alternatif kepada orang Tionghua untuk menikmati hidangan kegemaran mereka, malah turut memberi khabar gembira kepada orang Melayu yang selama ini menginginkan untuk merasa kelazatan makanan tersebut.   
          
Pengusahanya, Shahrizan Azmed, 37, berkata, sebelum ini menu tersebut hanya boleh didapati di kedai makan bangsa Tionghua sahaja.

Ekoran itu, katanya, ramai Melayu khususnya yang beragama Islam tidak dapat menikmati menu tersebut kerana meragui status halalnya.

“Tetapi kini restoran nasi ayam tauge ini diusahakan oleh saya sendiri, orang Melayu beragama Islam.

“Saya percaya usaha ini secara tak langsung memberi peluang kepada semua pihak untuk menikmati nasi ayam tauge ini tanpa mengira kaum agama dan latar belakang,” katanya kepada Sinar Harian.
           
Shahrizan dan isteri sibuk menyediakan hidangan nasi ayam tauge.
Sebelum ini, restoran berkenaan tular di media sosial kerana harga yang ditawarkan berpatutan sehingga mendatangkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen termasuklah soal status halal kerana ramai beranggapan kedai tersebut dimiliki bukan Islam.

Semuanya disebabkan oleh suasana kedai tersebut yang beroperasi seolah-olah kedai makan Cina.


Ragu status restoran

Seorang pelanggan, Fauziah Ibrahim, 56, berkata, pada mulanya dia sendiri merasa ragu dengan status kedai berkenaan kerana menyangka ia diusahakan oleh kaum Tionghua.

“Saya tahu menu nasi ayam ini hanya disediakan di restoran-restoran Cina sahaja.

“Disebabkan itu, saya jadi was-was dan seterusnya hanya menyimpan hasrat untuk merasai nasi ayam tauge ini," katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia akhirnya berjaya menikmati kelazatan nasi ayam berkenaan selepas mendapat tahu restoran berkenaan diusahakan sepenuhnya oleh usahawan bumiputera Melayu beragama Islam.


Seorang lagi pelanggan, Tan Yiqi 15, berkata, nasi ayam tauge di restoran berkenaan memang sedap dengan cita rasanya yang unik dan tersendiri.

Menurutnya,  dia juga sebenarnya masih belum merasai nasi ayam tauge di restoran-restoran Cina dan akan mencubanya suatu hari nanti.

“Nasi ayam di restoran ini sangat sedap. Hari ini saya beli enam bungkus untuk dibawa balik dan makan bersama-sama dengan keluarga.

“Saya juga berharap restoran nasi ayam ini terus berkembang maju pada masa hadapan,” katanya.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com