Lelaki Maut Ditikam Selepas Ejek Rakan OKU


KLANG - Tindakan seorang lelaki mengejek rakannya yang juga orang kurang upaya (OKU) membawa padah apabila dia maut ditikam rakannya itu di kediamannya di Pandamaran, dekat sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dalam kejadian sekitar jam 6 petang itu, mangsa ditemui rebah di hadapan rumahnya oleh seorang jiran wanita.

"Jiran yang berusia 48 tahun itu segera meminta bantuan orang ramai untuk membawa mangsa ke hospital.

"Bagaimanapun mangsa yang berusia 55 tahun itu disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR)," katanya melalui satu kenyataan kepada Media lewat malam tadi.

Menurutnya, mangsa yang parah di bahagian dada sebelah kanan dipercayai ditikam dengan senjata tajam.

"Siasatan awal polis mendapati, kejadian itu berlaku apabila suspek tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang sering mengejeknya kerana dia kudung kaki sebelah kanan.

"Suspek dan mangsa merupakan kawan rapat dan hampir setiap petang suspek akan ke rumah mangsa untuk melepak dan berborak," katanya.

Beliau berkata, tindakan mangsa yang sering mengejek kekurangan suspek itu dipercayai faktor yang mendorong suspek untuk membunuh mangsa.

Susulan kejadian itu, Shamsul Amar berkata, polis memberkas suspek yang berusia 51 tahun di rumahnya kira-kira jam 8 malam.

"Kita turut merampas sebilah pisau yang mempunyai kesan darah dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa.

"Mayat mangsa kini berada di Unit Forensik HTAR dan proses bedah siasat akan dijalankan sekitar jam pukul 10 pagi, esok," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com