Lelaki Ditahan Miliki Motosikal Curi Dan Syabu Di Pendang


ALOR SETAR - Seorang lelaki ditahan pihak berkuasa kerana didapati memiliki sebuah motosikal curi dan dadah jenis syabu seberat 1.11 gram di tepi Jalan Felda Sungai Tiang, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Fadzil Hashim berkata, pihak polis menerima maklumat berhubung perkara itu pada jam 12.15 tengah malam.

Laporan tersebut menyatakan bahawa terdapat seorang lelaki sedang duduk di atas sebuah motosikal jenis Yamaha FZ150(S) di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan.

“Selepas menerima maklumat, sepasukan anggota dari Balai Polis Sungai Tiang bergegas ke lokasi berkenaan dan membuat pemeriksaan ke atas lelaki tersebut,” katanya.

Menurutnya, ketika pihak polis tiba di lokasi berkenaan untuk pemeriksaan, lelaki tersebut cuba untuk melarikan diri dan berlaku sedikit pergelutan.

Malangnya usaha untuk meloloskan diri tidak berjaya dan tangkapan berjaya dilakukan.


“Hasil pemeriksaan awal ke atas lelaki tersebut mendapati motosikal yang digunakan adalah motosikal curi dan terdapat dua paket lut sinar mengandungi serbuk jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 1.11 gram di dalam genggamannya.

“Lelaki berusia 34 tahun itu yang berasal dari Kampung Teluk Jamat, Pokok Sena dibawa ke Balai Polis Sungai Tiang untuk tindakan lanjut.

“Motosikal dimilikinya itu pernah dilaporkan hilang di tempat letak motosikal Taman Suri Langgar, Alor Setar,” katanya.

Suspek turut dikesan memiliki rekod jenayah lampau iaitu empat rekod berkaitan samun dan ragut.

“Hasil ujian saringan awal ke atas suspek mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Buat masa ini, suspek ditahan di lokap Balai Polis Pendang untuk siasatan di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 dan akan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar bersangkut kes samun dan curi motosikal,” katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com