Lelaki Dari Baling Hilang Mata Pencarian Sejak Alami Kaki Bengkak


BALING – Seorang lelaki melahirkan perasaan risaunya apabila kedua-dua belah kaki­nya semakin membengkak sekali gus membataskan pergera­kan­nya.

Jalaini Ishak, 46, berkata, sejak November tahun lalu, kakinya itu mulai membengkak selain timbul bintik-bintik kemerahan.

“Pada awalnya saya tidak mengesyaki apa-apa apabila kedua-dua belah kaki saya membengkak dan timbul bintik-bintik merah kerana tidak merasa sakit atau gatal.

“Tetapi perasaan tidak puas hati menyebabkan saya cuba mendapatkan rawatan di sebuah klinik tetapi kes saya itu terpaksa dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tanjung, Kupang, di sini Selasa.

Menurutnya, bengkak di kedua-dua kakinya itu timbul bermula dari bahagian bawah kaki sehingga ke pinggang.

“Apabila mendapatkan rawatan di HSAH, doktor mengesahkan saya mengalami masalah tekanan darah rendah. Doktor terpaksa menempatkan saya di wad HSAH selama 18 hari untuk menerima rawatan lanjut kerana saya juga turut mengalami masalah buah pinggang, paru-paru dan jantung,” katanya.

Sejak itu Jalaini tidak dapat bergerak, melakukan sebarang pekerjaan dan tidak lagi keluar menoreh getah ataupun me­lakukan kerja-kerja kampung.

“Kini, saya bergantung sepenuhnya dengan isteri, Aslina Azam, 43, yang bekerja di kantin sekolah tetapi dia juga tidak dapat pergi kerja kerana terpaksa menjaga saya dan berulang alik ke hospital.

“Anak saya, Mohd. Arif Hafiz, 13, kini belajar di Sekolah Model Khas dan seorang lagi anak angkat, Mohd. Fauzi Abd Nasir, 14, di Sekolah Menengah Jerai,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berasa simpati dengan nasib yang menimpa Jalaini dan akan membantunya.

“Saya akan membantu Jalai­ni dengan membiayai kos rawatannya termasuk bantuan ke­­wangan sebanyak RM200 setiap bulan.

“Bekalan makanan seperti beras, gula, tepung, kopi, susu dan sebagainya turut diberikan selain menghantar permohonan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai pesakit terlantar,” katanya.

Bagi mereka yang ingin membantu Jalaini, boleh meng­hubungi mereka di talian 0195051022.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com