Lelaki Bawa Dadah Dengan Motosikal Curi


IPOH - Sudah la menunggang motosikal curi, seorang lelaki ditahan polis kerana turut memiliki dadah, kelmarin.

Suspek berusia 35 tahun itu ditahan anggota rondaan Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, di Jalan Tun Abd Razak kira-kira jam 2.30 petang.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, suspek menaiki motosikal jenis Yamaha LC135 berwarna merah ditahan oleh anggota yang menjalankan rondaan.

“Pemeriksaan fizikal dilakukan dan menemui 10 peket plastik yang mengandungi ketulan dadah disyaki heroin di genggaman tangan kanannya.

“Pemeriksaan terhadap motosikal terbabit mendapati nombor plat yang digunakan adalah palsu dan ia bersangkut dengan kes kehilangan motosikal di Chemor, bulan lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Menurutnya, suspek yang tinggal di rumah pangsa, Jalan Ashby itu ditahan dan motosikal serta dadah yang ditemui turut dirampas.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu curi motosikal dan Seksyen 39 A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sumber: Sinar

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com