Lega Barang Murah Di KR1M 2.0


TEMERLOH - Lebih 6,000 orang hadir menyaksikan pelancaran Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di pasar raya Tunas Manja Group (TMG), di sini, semalam.

Mereka yang hadir sejak jam 8 pagi itu turut berpeluang mendapatkan 5,000 paket minyak masak satu kilogram dan 2,000 paket gula satu kilogram percuma.

Suri rumah, Julia Arni Jamin, 39, dari Kerdau, di sini, berkata pembukaan semula KR1M 2.0 ini sememangnya dinantikan kerana ia dapat mengurangkan perbelanjaan barangan keperluan hariannya.

Katanya, sebelum dia memang berbelanja di KR1M dan apabila operasinya ditamatkan dia seakan 'hilang punca' untuk membeli barang keperluan dengan harga yang rendah.

"Apabila KR1M 2.0 dibuka semula saya berasa lega, sekurang-kurangnya saya tahu di mana tempat mendapatkan barang yang murah termasuk barangam berjenama dan berkualiti.

"Ia sedikit berbeza berbanding KR1M sebelum ini, barangnya juga banyak dan mempunyai jenama..sememangnya ia menjadi pilihan untuk saya membeli barang selepas ini," katanya.

Bagi S Parameswary, 39, dari Kuala Tekal, di sini, berkata,beliau pada mulanya tidak mengetahui KR1M 2.0 dilancarkan semula dan lega apabila mendapati barang yang dibeli lebih murah daripada biasa.

"Saya memang selalu datang ke sini (TMG Mall) untuk beli barang keperluan dan lega apabila jumlah yang perlu saya bayar lebih murah berbanding sebelum ini.

"KR1M ini dapat meringankan beban saya sekeluarga dalam berbelanja, sekurang-kurangnya kami tahu masih lagi ada tempat yang menawarkan harga murah dan berpatutan, terima kasih kepada kerjaan kerana melancarkan KR1M ini," katanya yang bekerja sebagai tukang cuci.


Pesara, Mazlan Hussein, 59, dari Kuala Tekal berkata, dia membeli barang keperluan harian di beberapa pasar raya sebelum ini namun harganya lebih mahal berbanding di KR1M 2.0.

"Saya sudah bersara, jadi perbelanjaan pula sebolehnya diminimumkan jadi apabila KR1M ini dibuka semula ia dapat mengurangkan beban kami sekeluarga.

"Bagi orang yang hanya bergantung kepada wang pencen setiap bulan, KR1M ini menjadi pilihan saya untuk mendapatkan barang keperluan asas," katanya.

Pengerusi MCA Temerloh, Ah Tong Hoi, 55, berkata, KR1M 2.0 sememangnya menjadi sandaran orang ramai yang memerlukan lokasi tepat untuk membelanjakan wang mereka dengan nilai setimpal.

"Kalau dapat (beli) harga yang murah, jadi rakyat terutamanya di kawasan ini tidak terbeban. Sekarang harga semakin naik, dengan adanya KR1M 2.0 ini jadi senanglah.

"Boleh dapat barang murah khasnya harga barangan di bawah kawalan kerajaan. Musim perayaan (Tahun Baru Cina) pun tidak lama lagi kewujudannya (KR1M) amat dihargai," katanya.

Pekerja swasta, Norlaili Fakeh Abd Samad, 68, dari Kampung Pak Ali, sini pula berpendapat harga murah yang ditawarkan di KR1M seharusnya selari dengan kualiti barangan sama yang boleh didapati di pasaraya atau kedai-kedai lain.

"Memang seronok dapat beli barang harga murah tetapi saya berharap ia juga berkualiti," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com