Lapan Anggota Polis, Lima Bomba Cedera Diserang Dengan Penyembur Lada


KUALA LUMPUR - Lapan anggota polis dan lima anggota bomba dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas terkena semburan penyembur lada dalam satu operasi khas pada petang Jumaat.

Dalam kejadian di sebuah unit kondominium di Kuala Lumpur itu, seorang wanita yang juga pemilik unit berkenaan pada mulanya ke unit itu untuk menukar kunci mangga.

Penyewa unit berkenaan, seorang warganegara Amerika Syarikat, telah diarahkan mengosongkan kediaman pada Khamis.

Namun, cubaan pemilik untuk membuka pintu utama unit itu gagal kerana pintu seolah-olah disekat oleh benda berat dari bahagian dalam, sebelum penyewa membuka pintu dan menyembur sejenis cecair yang menyebabkan rasa pedih pada mata dan kulit.

Terkejut dengan tindakan itu, pemilik menghubungi polis dan bomba namun mereka juga disembur dengan cecair yang sama.

Suspek kemudiannya berjaya dipujuk polis untuk menyerah diri, dan mengaku menyembur bahan pemedih mata itu kepada anggota polis dan bomba.

Polis merampas sebotol cecair penyembur 'bear pepper' dan suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Sumber: Astro Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com