Laluan Baru Le Tour de Langkawi 2018 Diketahui Minggu Depan


KUALA LUMPUR - Laluan baru perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 dijangka diketahui minggu depan.

Perkembangan itu dimaklumkan oleh Pengarah Urusan Ciclista Sports Sdn Bhd, Shahirudeen Seeni Mohamad susulan keputusan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) mengekalkan perlumbaan kepada lapan peringkat.

"Kami akan umumkan laluan baru minggu depan dengan perubahan paling tinggi adalah 20 peratus berbanding laluan asal yang diumumkan sebelum ini.

"Seboleh-bolehnya kami tidak mahu melakukan perubahan yang terlalu banyak kerana aspek logistik sudah diuruskan seperti tempahan hotel dan mesyuarat dengan pihak berkuasa tempatan," jelasnya.

LTdL 2018 pada asalnya diluluskan UCI untuk diadakan dari 3 hingga 10 Mac depan dengan lapan peringkat perlumbaan namun permohonan dipanjangkan untuk menambah dua lagi peringkat selain menukar tarikh kepada 16 hingga 25 Mac.

Bagaimanapun menerusi e-mel kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Sabtu lalu, UCI menerima permohonan untuk menukar tarikh namun menolak untuk tambahan dua peringkat sekali gus perlumbaan berlangsung dari 18 hingga 25 Mac.

Terdahulu, perlumbaan itu dilancarkan minggu lalu dengan 10 peringkat bermula di Kangar menyusuri Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Putrajaya, Johor dan berakhir di Kuala Lumpur sejauh 1,537.2 kilometer.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com