Kopi Durian: Kita Tanggung Kerana Kejahilan Sendiri - CAP


KUALA LUMPUR - Hanya kerana sifat 'tidak peduli', pengguna sering terperangkap dan menjadi mangsa kepada produk yang berbahaya.

Menurut Pegawai Penyelidik dari Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Ganesan Sivalingam rata-rata pengguna di Malaysia terlalu yakin apa sahaja produk yang sudah berada di pasaran telah dijamin selamat.

"Sebagai pengguna kita terpaksa tanggung kerana kejahilan kita sendiri.

"Ramai pengguna tidak ambil tahu tentang bahan yang digunakan dalam produk makanan atau minuman yang dibeli.

"Malangnya ada beberapa bahan yang digunakan dalam produk yang dipasarkan amat membahayakan kesihatan kita," katanya kepada Astro AWANI.

Baru-baru ini terdapat beberapa kejadian mangsa diserang gejala seperti sawan selepas meminum minuman kopi pracampuran.

Ganesan menegaskan pihak Kementerian Kesihatan perlu memainkan peranan mereka untuk memantau dan menyebarkan maklumat kepada pengguna.

"Penguatkuasaan perlu dilaksanakan serta-merta. Apa sahaja produk yang berada di pasaran perlu dapat kelulusan dari pihak kementerian.

"Jika mana-mana premis didapati menjual kopi yang tidak diluluskan, tindakan perlu diambil.

"Ini dapat mengelakkan syarikat lain untuk menjual atau menghasilkan kopi yang membahayakan ini," katanya.

Sumber: Astro Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com