Kopi Dicampur Dadah Untuk Pusat Hiburan


KLANG - Polis percaya kopi segera berperisa durian yang didakwa dicampur dengan sejenis dadah telah dibeli oleh seseorang individu dengan tujuan untuk dijual di pusat hiburan sebelum dibuang di kawasan pembuangan sampah.

Timbalan Pengarah (risikan/operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Kang Chez Chiang berkata, pihaknya masih dalam usaha mengenal pasti individu terbabit yang terlibat dalam aktiviti sindiket dadah.

Menurutnya, berdasarkan siasatan yang dijalankan, polis percaya paket kopi ini telah dipotong terlebih dahulu sebelum dicampur dengan dadah.

"Individu terbabit bagaimanapun telah membuang paket kopi itu di kawasan pembuangan sampah di Taman Ria, Air Itam Pulau Pinang sebelum ditemui oleh orang awam.

"Mungkin orang awam yang melihat kopi itu adalah 'brand' mahal, kopi itu telah diambil dan dibawa pulang sebelum diberikan kepada rakan-rakan yang lain tanpa diketahui isi kandungannya," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, semalam.

Kang berkata, siasatan mendapati berat kopi itu adalah 10 gram lebih berbanding kopi yang asal.

Katanya, mungkin orang awam ingat itu adalah kopi biasa, tapi ia berkemungkinan boleh mengandungi syabu, ketamin atau juga ekstasi.

"Polis masih menunggu laporan daripada jabatan kimia untuk mengesahkan sama ada kopi itu mengandungi dadah.

"Polis yakin kopi ini tidak merebak ke kawasan lain dan hanya di Pulau Pinang sahaja dan usaha sedang giat dijalankan untuk mengesan dalang yang terlibat dalam mencampurkan kopi terbabit dengan barang terlarang," katanya.

Kelmarin, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar mengesahkan hasil analisa kopi segera yang dijalankan Jabatan Teknologi Makanan, Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan Pulau Pinang mendapati ia mengandungi bendasing yang disyaki sejenis dadah.

Anuar berkata, mengikut keterangan dari pegawai jabatan tersebut, kopi berperisa durian itu mengandungi dadah namun belum dikenalpasti jenisnya.

"Hasil analisa sampel paket kopi berkenaan menunjukkan paket tersebut telah dibuka dan dibungkus semula berikutan bahagian bawah paket kopi tersebut terdapat kesan koyakkan," katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com