Kompleks Pekan Rabu Baharu Bakal Beroperasi Sepenuhnya Mac Ini


ALOR SETAR - Selepas kira-kira tiga tahun beroperasi sementara di Kompleks Ukir Mall, di sini, lebih 350 peniaga akhirnya mampu menarik nafas lega apabila bakal kembali ke lokasi asal Kompleks Pekan Rabu di Jalan Sultan Ibrahim, di sini, tidak lama lagi.

Kompleks itu dibangunkan pada 2014 selepas dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, 2012 dan kini premis ikonik pelancongan Kedah itu tersergam indah.

Bagi seorang peniaga asal Kompleks Pekan Rabu, yang hanya ingin dikenali dengan nama Rosdi, 57, mengaku sangat gembira apabila dimaklumkan boleh berpindah ke bangunan baharu dalam tempoh terdekat.

"Sehingga kini, kita belum menerima sebarang surat arahan berpindah daripada Koperasi Pekan Rabu Alor Setar Berhad, namun difahamkan akan mula berpindah penghujung bulan depan.

"Saya sangat gembira dan difahamkan kami akan mula berniaga pada awal Mac ini...saya sudah bersedia untuk berniaga semula di sana dan berharap jualan akan lebih memberangsangkan berbanding di bangunan sementara di sini (Kompleks Ukir Mall)," katanya yang sudah berniaga di Pekan Rabu sejak 20 tahun lalu.

Sementara itu, seorang peniaga yang ingin dikenali sebagai Saadiah, 49, berkata sudah lama menunggu khabar gembira untuk kembali ke lokasi asal Pekan Rabu dengan penuh sabar, apabila gerainya di perkarangan Kompleks Ukir Mall kurang mendapat sambutan.

"Tidak seperti di Pekan Rabu, jualan setiap hari lebih 70 peratus berbanding di sini, walaupun belum masuk ke bangunan Pekan Rabu yang baharu, saya yakin susunan lot kedai di sana lebih baik selepas ia melalui pembinaan semula.

"Peniaga dan pengunjung juga akan lebih selesa untuk berjual beli di situ apabila saya difahamkan terdapat pelbagai kemudahan disediakan di situ," katanya memetik BH Online.

Menurut Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Ir Wan Mohamad Hili Wan Mahmud, berkata bangunan Kompleks Pekan Rabu baharu itu dibina dengan kos RM36.9 juta dan sudah diserahkan kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), baru-baru ini.

"Bangunan baharu ini memiliki keluasan 9,344 meter persegi dan ia mempunyai 355 ruang niaga termasuk kios serta 24 buah kedai makan.

"Bangunan empat tingkat itu turut disediakan kemudahan satu setengah parkir bawah tanah iaitu 203 unit ruang parkir kereta serta 118 parkir motosikal untuk kemudahan peniaga dan pengunjung," ujarnya.

Terdahulu, Kompleks Pekan Rabu sememangnya menjadi tarikan utama pelancong ke Kedah sejak sekian lama dan ia menyediakan pelbagai jualan seperti makanan, kuih dan pakaian tradisional, tukang jahit, songkok, kraftangan tempatan, buku, kitab, majalah serta produk industri kecil dan sederhana (IKS). - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com