KJ Harap Pusat Latihan Skuasy Baharu Di Kedah Dapat Lahirkan Atlet Berkualiti


ALOR SETAR - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berharap pembinaan pusat latihan skuasy baharu bernilai RM7.6 juta ini akan membantu negara menghasilkan lebih ramai atlet sukan skuasy yang berkualiti.

Menurut Khairy, program pencarian bakat baharu sukan skuasy tidak boleh hanya tertumpu di Bukit Jalil, Kuala Lumpur sahaja dalam usaha memastikan Malaysia mampu mengekalkan kecemerlangan dalam acara berkenaan di pentas antarabangsa.

“Malaysia berjaya menunjukkan kecemerlangsan dalam sukan ini namun biarlah berterusan. Negara-negara lain banyak melahirkan pemain-pemain remaja misalnya, Mesir yang mempunyai 'talent base' yang begitu besar sekali.

“Sebab itu, kalau kita mahu mula (melahirkan altet pelapis bertaraf antarabangsa), tidak boleh hanya tertumpu di Bukit Jalil sahaja tetapi perlu di seluruh negara, kalau tidak kita tidak akan dapat kejar kerana negara lain semakin jauh ke hadapan dalam sukan skuasy,” katanya memetik Utusan Online.

Beliau membuat kenyataan berikut ketika berucap dalam Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Pusat Latihan Skuasy Kedah di Stadium Sultan Abdul Halim di sini semalam.


Turut hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan; Datuk Aminuddin Omar dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din.

Ketika diminta mengulas lanjut hal tersebut, Khairy berkata, walaupun Malaysia tidak ketinggalan dalam soal pembangunan sukan skuasy, namun pihaknya tidak menafikan negara kekurangan atlet lelaki pada masa ini.

“Kita tidak ketinggalan (berbanding negara-negara lain seperti Mesir), jika lihat skuasy wanita, kita berada di kedudukan hampir sama, cuma pembangunan sukan skuasy lelaki.

“Pemain skuasy wanita kita handal, pemain lelaki kita perbaiki sikit,” ujarnya.

Malah, beliau turut menyifatkan pembinaan Pusat Latihan Skuasy Kedah sebagai pengiktirafan dan hadiah kepada kejayaan empat atlet remaja kerana menjuarai Kejohanan Skuasy Terbuka Remaja Britain 2018 baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Khairy meminta penyokong Lang Merah jangan terlalu emosi dengan hasrat kerajaan negeri untuk membina sebuah stadium bola sepak baharu dengan kemudahan serta kapasiti yang lebih besar berbanding Stadium Darul Aman, di sini.

“Mereka kena faham kerana ini untuk keselesaan mereka. Saya tahu Stadium Darul Aman ada nilai sentimental tapi tempat baharu juga akan dibina di tempat yang strategik,” katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com