Khidmat Doula Tidak Boleh Dilakukan Tanpa Doktor, Bidan


KUALA LUMPUR - Mufti Wilayah Persekutuan berpendapat penggunaan khidmat 'doula' tidak boleh dilakukan tanpa pemerhatian doktor atau bidan terlatih.

Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, alasan tidak mahu melahirkan anak di hospital kerana isu aurat (misalnya) tidak sepatutnya timbul.

"Kini dengan adanya seluar bersalin mesra aurat, hospital-hospital tertentu yang menawarkan khidmat bersalin dengan menutup aurat, di samping perlu difahami bahawa nyawa adalah jauh lebih penting maslahatnya berbanding aurat dalam situasi tersebut," katanya menerusi satu kenyataan.

Selain itu beliau berkata, orang ramai tidak boleh mencontohi kejadian Maryam (alahissalam) melahirkan anak di rumah kerana kejadian yang berlaku pada zaman tersebut adalah kehendak ALLAH SWT.

Zulkifli juga memuji usaha pihak Kementerian Kesihatan dalam mengurangan kadar kematian ibu bersalin dari tahun demi tahun termasuk kadar kematian bayi.

"Dalam masa sama, amat penting supaya penjagaan sejak mengandung dilakukan di tempat-tempat yang diiktiraf oleh KKM, bukannya hanya melalui konsultasi 'doula' semata-mata," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai merujuk kepada pakar perubatan yang diiktiraf sekiranya terdapat sebarang kemusykilan mengenai kelahiran di rumah.

"Melakukan sesuatu yang membahayakan atau mencalarkan kehormatan dan juga melibatkan harta atau jiwa umat Islam adalah tindakan kezaliman yang diharamkan oleh ALLAH SWT.

"Justeru, marilah sama-sama kita menginsafi seperti dalam isu ini dengan merujuk kepada pakar-pakar perubatan yang diiktiraf oleh KKM agar sebarang tindakan rawatan kesihatan sentiasa dalam keadaan yang selamat," katanya.

Sumber: Sinar

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com