Khabar Gembira Buat Pesawah Kedah, Bantuan RM200 Dibayar Pertengahan Mac


Khabar gembira buat pesawah di seluruh negara dan juga di negeri Jelapang Padi,  Kedah. 

Bantuan berjumlah RM200 untuk tiga bulan berturut-turut  yang dijanjikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak akan disampaikan peterngahan Mac depan.

Bantuan itu dijanjikan oleh Najib  semasa pembentangan Bajet 2018 Oktober lalu.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz berkata, ketika ini wang yang dijanjikan sudah pun tersedia dan hanya menanti masanya saja untuk diserahkan kepada para pesawah yang layak.

“Insya Allah kita akan buat pelancaran bersama Perdana Menteri pada pertengahan Mac depan dan penyerahan dijangka selesai pada awal April. 

 Oleh itu jangan bimbang, kerajaan sentiasa ingat akan janji yang dibuat kerana peruntukan sudah pun diluluskan dan hanya menanti masa sesuai untuk diserahkan, " katanya.

Othman yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) memberitahu perkara itu selepas  mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bekalan Air dan Penanaman Padi di Ibu Pejabat Mada dekat Ampang Jajar Alor Setar. 

Sehubungan itu, beliau yang   Ahli Prlimen Jerlun menasihatkan para pesawah membuat semakan nama dengan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada menerima bantuan kerajaan itu.

Mereka tidak termasuk dalam PPK pula kata Othman, mereka hendaklah menyemak nama mereka berada di saluran lain yang tepat.

"Ini bagi mengelakkan keadaan kelam-kabut sehingga ada yang layak terima tak dapat dan ada pula yang tak layak, tetapi memperolehinya,” katanya.

Pemberian bantuan kepada pesawah itu melibatkan peruntukan berjumlah hampir RM150 juta. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com