Kes Mercun Meletup, MCPF Gesa Pihak Berkuasa Siasat Kemasukan Bahan Terlarang


KUALA LUMPUR - Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) memandang serius insiden letupan mercun yang mengakibatkan 26 cedera ketika perarakan Thaipusam berdekatan Kuil Dewa Subramaniya Swami, Sungai Petani, Kedah malam kelmarin.

Naib Pengerusi Kanan MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kejadian terbabit menunjukkan bahan terlarang itu masih boleh didapati dengan mudah di negara ini.

"Ini bukan kejadian pertama kerana sebelum ini sudah banyak kes kecederaan dilaporkan akibat bermain mercun terutama ketika musim perayaan.

"Mangsa terutamanya kanak-kanak selalunya mengalami kecederaan serius termasuk putus jari dan cedera anggota badan, selain ada yang melecur teruk," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, larangan bermain semua jenis mercun dan bunga api pada hari perayaan sudah dikuatkuasakan kerajaan sejak tahun 1995.

"Saya berharap pihak berkuasa dapat menyiasat sehingga ke peringkat akar umbi bagaimana bahan terlarang itu boleh dibawa masuk ke dalam negara," katanya.

Selain itu, Lam Thye berkata, pihak polis perlu meningkatkan kerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) untuk mencari jalan menyekat penyeludupan mercun ke dalam negara di sepanjang sempadan.

"Pada masa sama, tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka yang membawa masuk dan menjual mercun termasuk secara dalam talian.

"Oleh itu, undang-undang sedia ada perlu dipinda supaya hukuman lebih berat dapat dikenakan dan menjadi pengajaran kepada orang ramai," katanya.

Mengikut Seksyen 4(2) Akta Bahan Letupan 1957, sesiapa yang mengeluarkan, memiliki atau mengimport bahan yang boleh meletup seperti mercun boleh dikenakan hukuman maksimum lima tahun penjara atau denda RM10,000, atau kedua-duanya sekali.

Mereka yang ditangkap menjual mercun atau bunga api pula boleh dipenjara selama tujuh tahun dan denda RM10,000, manakala bagi kesalahan bermain dan membakar mercun serta bunga api dikenakan denda RM300.

Sumber:BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com