Kerajaan Peruntukan RM8.1 juta Bagi Pembinaan GiatMara Jerai


ALOR SETAR - Kerajaan memperuntukan sebanyak RM 8.1 juta bagi tujuan pembinaan GiatMara Jerai di atas tapak seluas dua hektar yang terletak di Simpang Empat, Jalan Titi Hayun, Yan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, GiatMara itu bakal menwarkan kursus seperti Pendawaian Elektrik, Teknologi Penyejukbekuan dan Penyaman Udara, Fesyen dan Dressmaking serta Penyelenggaraan Perindustrian.

"Terdapat juga kursus baharu yang dalam perancangan iaitu Teknologi Kimpalan dan Fabrikasi Logam," katanya.

Menurut Ismail, beliau mengharapkan pembinaan bangunan GiatMara Jerai ini dapat merancakkan lagi bidang kemahiran.

"Ia secara tidak langsung selari dengan motto Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah iaitu membandarkan luar bandar.

"Selain itu juga, perasmian bangunan baharu ini diharap mampu memberi ruang kepada komuniti untuk mendapatkan latihan dan juga menggunakan kemudahan secara bersama," katanya ketika merasmikan bangunan baharu GiatMara Jerai, kelmarin.

Tambahnya, kewujudan GiatMara tersebut aman memberi makna kepada generasi muda selain membuka peluang kepada anak-anak yang mempunyai kemahiran serta permikiran yang kreatif

"Dengan adanya GiatMara, anak-anak yang berfikiran kreatif dan minat dalam kemahiran tertentu boleh melanjutkan pengajian," katanya.

Katanya, dengan medium seperti ini anak-anak mempunyai peluang membina masa depan yang lebih baik.

Pembinaan bangunan ini mampu memberi branding yang lebih baik kepada GiatMara disamping memenuhi keperluan setempat yang menginginkan kemajuan menerusi kemahiran.

"Penglibatan dalam bidang kemahiran diharap mampu menjana pendapatan masyarakat dan meningkatkan sosioekonomi penduduk luar bandar," katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com