Kerajaan Kelantan Tidak Campur Tangan Penarikan Balik Pingat Husam


Kerajaan negeri Kelantan tidak campur tangan dan tiada kaitan berhubung penarikan darjah kebesaran yang dikurnia Sultan Muhammad V kepada Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN) Husam Musa.dan Pengerusi PAN Kelantan, Wan Rahim Wan Abdullah.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata tiada sesiapa boleh campur tangan perkara itu kerana ia hak istimewa Sultan Kelantan.

"Saya baru saja mengetahui berita penarikan pingat pagi tadi dan ia satu kejutan buat kerajaan negeri.

"Namun saya tegaskan kes berkenaan tiada kaitan dengan kerajaan negeri, malah kita tidak pernah masuk campur kerana hak pengurniaan dan penarikan pingat adalah hak keistimewaan baginda sultan," katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata demikian selepas Majlis Perlantikan Penghulu 2018 di Hotel Grand Riverview, di Kota Bharu semalam.

Sementara itu Wan Rahim dan Husam mengesahkan darjah kebesaran yang dikurnia  oleh Sultan Muhammad V kepada mereka ditarik balik.

Wan Rahim berkata, beliau dan Husam menerima surat daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan semalam yang memaklumkan tentang perkara itu.

Sultan Muhammad V menarik balik tauliah perlantikan Ahli Yang Kedua (Datuk Paduka) bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) (Al-Ismaili II).

Darjah itu dianugerahkan kepada mereka ditarik balik mulai 6 Februari 2018.

"Sebagaimana dititahkan, kami berdua mengembalikan ketandaan Darjah Kebesaran dan surat perlantikan yang berkaitan kepada Yang Amat Berusaha Pengelola Istana Diraja pada hari ini, 7 Februari 2018 di Istana Balai Besar, kata Wan Rahim pada satu sidang media.

"Kami mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi menjunjung kasih dan mengulangi taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhamad V," katan Wan Rahim.

Beliau menjelaskan, pingat Datuk Paduka itu diterima pada 2004 dan satu lagi pingat Jasa Pendamai (JP) yang dikurniakan pada 2009.

"Dua pingat daripada saya dan satu yang diterima oleh Husam diserahkan oleh Setiausaha PAN  Kelantan Rushdan Mustapa kepada Pengelola Istana Nik Pakheruddin Nik Abdul Kadir pagi ini" (semalam), kata beliau lagi. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com