Kerajaan Kedah Mahu Bangunkan Langkawi Demi Rakyat


ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah merancangkan hanya pembangunan yang menguntungkan rakyat sahaja yang bakal dibina di Langkawi.

Perkara itu hanya akan dilaksanakan selepas mengambil kira semua aspek khususnya yang memberi manfaat kepada penduduknya.

Hal itu termasuk perancangan bagi memastikan tahap keseimbangan mempu dicapai ekoran ia adalah hasrat utama kerajaan negeri demi meningkatkan taraf hidup rakyat dan mengekalkan keadaan semula jadi di pulau ini.

“Kita mengambil kira deklarasi Unesco (Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu) menjadikan Langkawi sebagai Geopark Global sebelum melaksanakan sebarang pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan Karnival Muafakat Komuniti dan Program Kor Anak Laut (Koral) Langkawi di sini semalam.

Dakwaan berkenaan antara ulasan berkenaan pandangan penasihat Global Geopark Langkawi, Prof Emeritus Datuk Ibrahim Komoo baru-baru ini yang mengatakan kelestarian dan pengekalan alam sekitar kurang menjadi keutamaan dalam pembangunan di pulau ini sejak kebelakangan ini.

Tegasnya, selama ini mereka kurang menumpukan kepada aspek ini hingga ia menyebabkan Langkawi kurang menjadi tarikan kepada pelancong yang ingin melihat keindahan semula jadinya yang unik.

Selain itu, Ahmad Bashah menegaskan bahawa kerajaan tidak mahu rakyat terus dibelenggu keadaan kemiskinan kerana terlalu terikat untuk memelihara alam sekitar sehingga tidak dapat melaksanakan apa-apa pembangunan di pulau ini.

Apa yang bakal dibangunkan dan segala perancangan di Langkawi tidak hanya dipandu oleh keperluan untuk menjaga keadaan semula jadinya semata-mata.

“(Keperluan pembangunan lestari) itu pandangan dia (Prof Ibrahim) tetapi kita perlu memikirkan banyak perkara,” katanya

Sementara itu, beliau turut menyelar tindakan pembangkang yang cuba mengelirukan rakyat di pulau ini berhubung rancangan pembangunan semula Taman Lagenda di sini.

Katanya, keperluan kawasan riadah hijau untuk orang ramai seperti Taman Lagenda yang terletak di Pekan Kuah ini sentiasa menjadi keutamaan kerana ia merupakan satu tarikan.

“Kalau hendak diikutkan rentak pembangkang, sampai bila pun Langkawi ini tidak akan membangun ,” katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com