Kepala Orang Disangkakan Buah Kelapa


TUMPAT - "Saya sangkakan buah kelapa, rupa-rupanya kepala orang," kata Nik Muhd Saffiq Abdul Aziz yang menemui mayat di Sungai Geting berhampiran Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini, semalam.

Nik Muhd Saffiq, 30, yang juga seorang pengusaha bot, mendapati mayat itu dalam keadaan meniarap di dalam sungai, ketika ditemui pada jam 12 tengah hari.

"Saya ternampak satu objek kira-kira 10 meter dari tebing dan menyangka ia sebiji buah kelapa.

"Saya terus memerhatikan objek itu dan ternampak badan manusia yang berbaju merah sebelum teringatkan seorang awak-awak warga Thailand yang kerap ditemui di jeti dan terus memaklumkan kepada pengurus LKIM.

"Untuk memastikan sama ada betul atau tidak mangsa itu lelaki warga Thailand itu, saya segera memeriksa bot yang menjadi tempat tinggal mangsa namun dia tiada di sana," katanya ketika ditemui di lokasi, di sini.

Difahamkan mangsa yang dikebali sebagai Khamwang Sutawa, 56, sudah lebih lima tahun bekerja sebagai awak-awak dengan pengusaha bot tempatan dan kali terakhir dilihat adalah kira-kira jam 6 petang semalam dengan memakai baju yang sama (warna merah).

Mangsa ditugaskan menjaga bot yang sudah hampir sebulan dibaiki dan dalam proses pembaharuan lesen.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud, mengesahkan menerima laporan berkenaan penemuan mayat itu dan dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com