Kedah Yakin Mampu Pertahan Piala Sumbangsih, Tewaskan JDT


ALOR SETAR - Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, menaruh harapan agar pasukan Lang Merah dapat mempertahankan Piala Sumbangsih walaupun tanpa kehadiran pemain import kelima.

Ahmad Bashah yang juga Menteri Besar Kedah berkata, sehingga kini kuota pemain Asean pasukan itu masih belum diisi ekoran pengurusan KFA ingin memberi peluang kepada pemain tempatan yang berkebolehan untuk bermain bersama pasukan Lang Merah.

"Kita tengok macam mana prestasi pemain tempatan dalam perlawanan pertama ini dulu. Kalau pemain tempatan pun hebat dan hampir setaraf dengan pemain Asean, kita boleh beri mereka peluang untuk bantu pasukan Kedah.

"Adat perlawanan, ada kalah ada menang jadi tak perlu salahkan sesiapa tapi saya yakin pasukan Kedah mampu mempertahankan Piala Sumbangsih ini dengan semangat juang yang tinggi yang ditunjukkan oleh semua pemain," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jersi Musim di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Presiden KFA, Datuk Paduka Syed Unan Syed Abdullah, Naib Presiden KFA, Datuk Badrol Hisham Hashim dan Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar.

Kedah bakal bertemu Johor Darul Takzim (JDT) pada 3 Feb ini di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Johor Bahru bagi mempertahankan piala berkenaan.

Sementara itu, beliau turut mengulas mengenai peruntukan tiket sebanyak 200 yang diberikan JDT bagi perlawanan itu.

"Perlawanan ini di tempat mereka (JDT), jadi hak mereka untuk tentukan jumlah tiket yang hendak diberikan,

"Kita minta 1,000 tiket tapi jumlah yang diberikan 200 tiket sahaja jadi kita tak boleh buat apa dan terima sahaja," katanya.

Pada sidang media tersebut, Ahmad Bashah turut mengumumkan Pengurus pasukan Kedah yang baharu Syed Khairol Anuar Syed Abidin menggantikan Datuk Jeffery Low.

Beliau turut mengumumkan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif KFA yang disandang oleh Yusdi Madeonus Datuk Mohd Yunus yang bertanggungjawab menguruskan perjalanan persatuan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com