Kedah Lancar D'Aman Mart, "Perangi" Peningkatan Kos Sara Hidup


ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah melancarkan cawangan pertama D’Aman Mart, satu rangkaian peruncitan yang menawarkan barangan keperluan harian dengan harga yang rendah berbanding harga di premis peruncitan yang lain.

Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, inisiatif ini diambil oleh pihak kerajaan negeri dalam usaha memerangi peningkatan kos sara hidup rakyat khususnya bagi kalangan golongan yang berpendapatan rendah.

"D’Aman Mart diwujudkan adalah sebagai satu platform pihak kerajaan negeri melalui Kedah Agro Holdings Bhd bagi melaksanakan satu tanggungjawab sosial kepada pengguna dan pelanggan dengan menawarkan barangan keperluan asas harian dengan harga patut.

"Program ini dirangka sebagai satu strategi ‘memerangi’ peningkatan kos sara hidup rakyat terutamanya di kalangan golongan berpendapatan rendah," katanya ketika berucap merasmikan cawangan pertama bagi program berkenaan di sini, semalam.


Mengulas lanjut, Ahmad Bashah menjelaskan bahawa Program Kos Sara Hidup ini bakal diperluaskan lagi jaringannya kepada lebih 1,000 cawangan pada tahun 2018, 1,500 cawangan pada 2019 dan 2,000 cawangan pada tahun 2020 di wilayah utara.

"D’Aman Mart akan memberi peluang kepada mana-mana peruncit tempatan yang sudah menjalankan perniagaan untuk mendapatkan bekalan barangan terpilih dalam menyediakan harga jualan yang kompetetif.

"Ianya termasuk bekalan barangan asas seperti gula, minyak, tepung dan beras. Bekalan ini juga akan dibekalkan mengikut terma bayaran yang ditetapkan," katanya.


Selain itu, Menteri Besar itu turut memaklumkan tentang program "loyalty card’" atau kad ahli di mana setiap pembelian akan diberi mata ganjaran untuk ditebus bagi tujuan belian seterusnya.

Katanya, melalui platform itu juga pihak pengguna boleh memlakukan penebusan baucer lain seperti baucer Polis, baucer Promart dan baucer-baucer dari pihak Kerajaan.


"Sudah tentu ini akan memberi peluang peningkatan janaan pendapatan peruncit tempatan. Inilah yang kita namakan inisiatif komuniti yang mana kita melihat keperluan semua pihak.

"Program ini juga akan mengembangkan pemasaran produk-produk usahawan tempatan samada dari peringkat kecil-kecilan sehingga kepada usahawan yang mempunyai kapasiti tinggi pengeluaran produk," ujar beliau lagi.


D’Aman Mart merupakan rangkaian peruncitan hasil kerjasama antara salah satu anak syarikat di bawah Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI), Kedah Agro Holdings Bhd dan syarikat swasta, Prolink Marketing Sdn Bhd, di bawah program Kos Sara Hidup Rakyat.

Program tersebut dilaksanakan Kerajaan Barisan Nasional (BN) Negeri Kedah bagi tujuan pelaksanaan tanggungjawab sosial kepada pengguna dan pelanggan dengan menawarkan barangan keperluan asas harian dengan harga patut. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com