Kedah Akan 'Tebus' Kekalahan Bila Jumpa Perak Rabu Ini


Kekalahan 1-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan pembukaan Liga Super  di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin kelmarin bukanlah gambaran tentang kelemahan Kedah dalam mengharungi musim 2018.

Kemenangan tipis JDT itu dan sekaligus merampas semula Piala Sultan Ahmad Shah yang disandang oleh Lang Merah musim lepas, tidak boleh dianggap memalukan.

Penolong Pengurus Pasukan Kedah, Haris Che Mat berkata, Kedah bermain baik walaupun berdepan pasukan yang dibarisi pemain terbaik di gelanggang lawan.

Memang wajar JDT menang di laman sendiri apatah lagi bermain di hadapan ribuan penyokong mereka, kata Haris ketika dihubungi Kedahnews.com semalam.

" Tetapi jangan lupa kita berjaya mengejutkan tuan rumah dahulu  pada separuh masa pertama menerusi jaringan awal Pablo Palares sebaik sahaja 15 minit perlawanan bermula.

Sementara pemain barisan pertahanan pula termasuk penjaga gol Kedah Mohd. Ifwat Akmal  berjaya mengekang asakan yang bertali arus, " kata Haris.

Kemenangan skuad Harimau Selatan itu  melunaskan dendam selepas kalah kepada Kedah menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan Piala Sumbangsih tahun lalu.

Terdahulu, kesilapan penjaga gol JDT, Izham Tarmizi menghantar bola kepada Da Silva membuka jalan kepada Kedah memperoleh gol pembukaan.

Kedah turun tanpa pertahanan tengah pertahanan Alvaro Silva, bekas pemain kebangsaan Filipina yang masih cedera.

Sementara itu Haris yakin skuad Lang Merah bimbingan ketua jurulatih Ramon Marcote  akan memperbaiki kelemahan di Johor dan bangkit semula apabila menentang Perak di Stadium Darulaman pada, 7 Februari ini. - Kedahnews.com .

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com