Kawasan Larangan 'Blue Lagoon' Di Alor Setar Tetap Jadi Tumpuan


ALOR SETAR - Walaupun sudah diklasifikasikan sebagai kawasan larangan, namun masih ramai pengunjung memenuhi sekitar Sungai Biru dekat Gunung Keriang, di sini, demi melihat sendiri keindahan 'Blue Lagoon' tersebut.

Meskipun terdapat papan tanda larangan bahawa keadaan parit dalam, arus deras, tebing curam dan runtuh, jalan sempit, rosak dan lincin ketika hujan yang diletakkan di tepi jalan masuk ke Sungai Biru bagaimanapun tidak menyekat kedatangan pengunjung kesitu.

Hasil tinjauan mendapati sekumpulan remaja tetap tidak melepaskan peluang untuk melakukan aktiviti mandi manda dan berenang dalam sungai biru berkenaan.

Bagi pengunjung, Arif Irfan Ahmad, 14, berkata, pada permulaannya, dia sememangnya berasa sedikit takut untuk melakukan sebarang aktiviti di sekitar kawasan Sungai Biru itu.

"Bagaimanapun, perasaan gementar dalam diri itu lama-kelamaan hilang kerana geram melihat air berwarna biru. Jadi, saya memberanikan diri untuk berenang dalam sungai bersama kawan-kawan di sini.

"Tidak dinafikan, kami ada dengar-dengar orang kata kawasan Sungai Biru berbahaya, selain dikaitkan kisah mistik.Jadi, kita mandi dengan berwaspada dan tawakal kepada ALLAH SWT," katanya memetik Sinar Online.

Sebelum ini, akhbar turut melaporkan keindahan Sungai Biru yang diumpamakan seperti lautan Kepulauan Maldives menjadi perbualan ramai hingga tular di laman sosial.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah, Ir Baharuddin Abdullah berkata, kawasan sungai itu adalah kawasan larangan kepada orang awam.

Beliau berkata, sebarang aktiviti termasuklah naik atas jambatan, terjun dari jambatan, berenang dan memancing turut dilarang dilakukan di kawasan sungai itu.

Untuk itu, katanya, orang awam dinasihatkan tidak masuk ke kawasan larangan itu kerana tapak berkenaan masih diklasifikasikan sebagai kawasan pembinaan demi mengelakkan kejadian tidak diingini.- Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com