Kanak-Kanak Jadi Modal Bapa Minta Sedekah Diselamatkan


ALOR GAJAH - Nasib malang seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang tular di media sosial kerana menjadi mangsa eksploitasi bapanya berjaya diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka Tengah.

Mangsa yang merupakan anak sulung daripada dua beradik didakwa sering dilihat serta didukung bapanya dalam keadaan panas terik sebelum dia akhirnya ditemui JKM dengan bantuan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di hadapan bangunan Hospital Putra, kira-kira jam 2.45 petang, kelmarin.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan negeri, Datuk Latipah Omar berkata, pihaknya kesal dengan tindakan lelaki berusia 36 tahun itu, dipercayai menggunakan anaknya untuk meraih simpati orang ramai bagi mendapatkan wang dengan mudah.

Menurutnya, hasil siasatan awal antara pegawai JKM dengan kanak-kanak itu mendapati, lelaki yang pernah mempunyai kes membabitkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menginap di sebuah hotel bajet di bandar Melaka dipercayai menggunakan wang hasil pemberian orang ramai.


Malah, katanya, lelaki yang berasal dari Negeri Sembilan itu juga telah mengabaikan tanggungjawab sebagai bapa atau penjaga dengan tidak menghantar anaknya ke sekolah.

“Dalam kes ini, lelaki terbabit telah mengabaikan tanggungjawab menjaga anaknya dengan mendukung kanak-kanak itu dalam keadaan panas terik hampir setiap hari tanpa diketahui makan dan minumnya.

“Lebih menyedihkan, kanak-kanak yang kali terakhir bertemu ibunya pada Jun tahun lalu tidak pernah dihantar ke sekolah seperti murid lain termasuk Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) pada tahun lalu.

“Saya juga berpuas hati dengan tindakan JKM Melaka Tengah yang terus mengambil tindakan proaktif selepas kes itu dipanjangkan kepada mereka pada hari sama,” katanya kepada Sinar Harian di Kompleks Japerun Taboh Naning,di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah JKM negeri, Burhanuddin Bachik, Pegawai JKM Melaka Tengah, Rosmarlina Abdul Manaf dan Penyelaras Kanak-kanak Daerah Melaka Tengah, Wan Nor Ahniza Hanom Ahmad.

Sementara itu, Burhanuddin berkata, pihaknya akan mengambil Perintah Jagaan Sementara kepada Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) di bawah Seksyen 19(2)(b) Akta Kanak-kanak 2001 kepada ibu kandung dalam masa terdekat bagi mengelakkan perkara sama berulang sekali gus membela nasib kanak-kanak lelaki itu.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com