Kak Long Dari Pendang Kongsi Cerita Lawat KLCC Dalam FB


ALOR SETAR  – Demam dan batuk bukan penghalang kepada usahawan orang kurang upaya (OKU), Nur Samawati Mahmud atau lebih mesra dipanggil Kak Long untuk berkongsi cerita mengenai pengalamannya berkunjung ke Kuala Lumpur City Centre (KLCC) termasuk Menara Berkembar Petronas di ibu negara, Selasa lalu.

Menurut gadis dari Kampung Gelong Gajah Pendang yang baru menyambut ulang tahun kelahiran ke-33 baru-baru ini, dia bukan sahaja berkongsi pengalaman berkunjung ke sana dengan jiran serta sanak-saudara malah turut diceritakan di laman Facebook (FB) miliknya.

“Sejak malam Isnin lalu, sebaik sahaja tiba di Kuala Lumpur, Kak Long dah mula tidak sihat, tak larat sangat.Mungkin sebab Kak Long letih sebab tidak biasa berjalan jauh. Tapi disebabkan seronok nak melawat KLCC, Menara Berkembar Petronas, hilang semua sakit,” katanya memetik Utusan Online.


Kak Long berkata, demam dan batuk yang dialaminya semakin teruk selepas pulang dari Kuala Lumpur terutama pada Khamis lalu.

“Semalam baharu Kak Long pergi Hospital Sultanah Bahiyah selepas demam dan batuk makin teruk. Kak Long tak ditahan dalam wad cuma kena berehat hampir enam jam di zon kuning (Jabatan Kecemasan dan Trauma).

“Doktor kata Kak Long kena jangkitan kuman, jadi kena masukkan ubat dan air. Hari ini, demam dan batuk Kak Long dah kurang sikit,” ujarnya.

Kisah Kak Long mula dikenali selepas video bertajuk Dengan Lidah, Kak Long Harap Dapat Bantu Bisnes Ibu mula tular di media sosial selepas disiarkan bulan lalu.

Video tersebut ditonton lebih 934,000 orang dengan jumlah perkongsian 9,300 sejak disiarkan.

Oleh itu, Petronas Dagangan Berhad bersama Utusan Online pada 30 Januari lalu telah merealisasikan hasrat yang dipendam Kak Long hampir 20 tahun untuk melihat KLCC secara dekat dengan membawanya ke sana. -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com