JKM Kedah, Dun Kubang Rotan Bantu Warga Emas Terlantar Sejak 8 Bulan


ALOR SETAR - Nasib seorang wanita warga emas yang terlantar sejak lapan bulan lalu mendapat perhatian Penyelaras Dun Kubang Rotan, Datuk Abdul Muthalib Harun dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diwakili kakitangannya, Mohd Shahril Radzli.

Abdul Muthalib berkata, Rodziah Man, 75, antara dua pesakit di Taman Kota Nelayan yang dilawati dan menerima sumbangan dalam Ziarah Muafakat Kasih.

“Melalui Ziarah Muafakat Kasih, kita menyelami nasib keluarga dan menghulurkan bantuan seperti barangan keperluan asas, susu khas ataupun lampin pakai buang,” katanya.

Turut hadir, Setiausaha JKKK Seberang Kota, Chek Dan Saad.

Rodziah tidak mampu berjalan sejak lapan bulan lalu selepas tidak sedarkan diri secara tiba-tiba di rumahnya di Taman Kota Nelayan, Kuala Kedah.

Anak lelakinya, Asri Osman, 44, berkata, mereka segera membawa ibunya ke hospital untuk menerima rawatan selepas melihat keadaannya yang semakin lemah.

“Suatu hari mak nampak tak bertenaga, jadi kami adik beradik bawa ke hospital untuk menjalani rawatan. Selepas itu dia dimasukkan ke zon merah dan koma selama dua minggu.

“Selepas itu mak bergantung pada kami untuk bergerak dan menguruskan aktiviti harian walaupun sudah sedar dari koma. Adiklah (Mohammad Afeendi, 32) yang selalu tengok-tengok mak,” katanya.

Asri berkata, ibunya yang terlantar akibat beberapa penyakit dihidapinya seperti kencing manis dan darah tinggi kini memerlukan susu khas.

“Susu khas itu agak mahal mencecah RM90 satu tin. Bayangkan, mak memerlukan lebih kurang tiga tin susu khas itu setiap minggu. Sebulan dekat RM3,000 diperlukan untuk sedia segala keperluan,” katanya.

Menurut Abdul Muthalib, pihak mereka berharap sumbangan itu dapat meringankan beban keluarga pesakit dan menyediakan keperluan mereka.

“Kita prihatin nasib mereka, jadi kita bawa kakitangan JKM untuk melakukan siasatan, melihat keperluan dan mempertimbangkan bantuan sesuai untuk membantu mereka,” katanya.

Tambahnya, Ziarah Muafakat Kasih adalah aktiviti kebajikan berterusan dalam usaha menyelami nasib dan membantu golongan kurang bernasib baik. - Kedahnews.com



No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com