JDT Rampas Piala Sumbangsih


JOHOR BAHRU - Johor Darul Ta'zim (JDT) kembali merampas Piala Sumbangsih dari Kedah selepas menewaskan skuad Helang Merah 2-1 sekali gus mengutip tiga mata pertama pada aksi pembuka tirai Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Turun dengan kesebelasan terbaik, skuad kendalian Ulisses Morais nyata menguasai perlawanan dan mengetepikan corak permainan 'falsafah Kedah' yang diagungkan oleh pengendali Ramon Marcote.

Tanpa kelibat Alvaro Silva yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan menyaksikan JDT bertindak melancar serangan awal pada minit kedua dan mencemaskan benteng Kedah selepas bola sepakan lintang S Kunanlan hampir disambar Luciano Figueroa namun sempat ditepis penjaga gol, Mohd Ifwat Akmal.

Kesilapan penjaga gol tuan rumah, Izham Tarmizi Roslan yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya pada minit ke-14 mengundang padah selepas Sandro Da Silva bijak menghantar bola kepada Pablo Pallares yang berjaya melepasi perangkap ofsaid dan merembat kencang menggegar jaring.

Ketinggalan 0-1 mencetus kebangkitan buat tuan rumah yang menggandakan asakan bagi memburu gol penyamaan dan berhasil pada minit ke-28 selepas bola sepakan lintang kapten Safiq Rahim membuka ruang buat Figueroa menanduk kemas menewaskan Mohd Ifwat.

Ketika aksi berbaki seminit untuk ditamatkan, Figueroa terlepas untuk mencipta gol kedua peribadi selepas bola tandukan hasil umpanan Gonzalo Cabrera sekadar singgah di palang tatkala Mohd Ifwat sudah tertewas.

Tuan rumah kembali berada di depan pada minit ke-58 selepas bola sepakan lintang Corbin Ong tatkala menerima umpanan Safiq menyaksikan Marcos Antonio melonjak tinggi untuk menanduk bola yang terkena tiang kiri sebelum masuk menewaskan Mohd Ifwat.

Skuad Helang Merah yang tersentak dengan jaringan itu tampak mengemaskan gerakan untuk cuba mencari gol penyamaan namun gandingan Antonio dan Mohd Fadhli Shas bertindak bijak mengekang setiap gerakan anak didik Marcote yang terpaksa berputih mata kehilangan piala yang dimenangi musim lalu.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com