‘Jangan Jaja Nama Saya Untuk Kepentingan Peribadi’- MB Kedah


ALOR SETAR - Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengingatkan individu tidak bertanggung jawab agar tidak menjaja namanya sebagai habuan untuk memperoleh projek mahupun mempengaruhi sebarang keputusan.

Katanya, perkara itu dikesan berlaku dan sedikit sebanyak menjejaskan imejnya termasuk kerajaan negeri.

“Saya tahu ada individu yang pergunakan nama saya untuk kepentingan peribadi mereka, tak payahlah buat begitu. Gunakan kelebihan diri sendiri, jangan jaja nama saya untuk dapatkan projek di Kedah,” katanya.

Menurutnya, tidak sewajarnya mana-mana pihak mempergunakan nama pejabat Menteri Besar Kedah mahupun nama beliau dalam meraih sokongan.

“Bila benda ni tersebar, tular dan macam-macam orang cakap. Lagi dekat PRU14, lagi hebatlah. Tular sana sini, kita tak boleh sekat maklumat tular, yang boleh sekat perbuatan individu berkenaan, jadi hentikan,” katanya.

Ahmad Bashah berkata, hanya kenyataan yang dibuat olehnya secara rasmi sahaja boleh dijadikan rujukan.

Baru-baru ini, tular surat layang berhubung individu mempergunakan nama Menteri Besar Kedah untuk kepentingan peribadi, yang turut dihantar ke pejabat Sinar Harian di Alor Setar.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com