Jangan Ambil Peket Kopi Daripada Orang Tidak Dikenali


GEORGE TOWN - Kementerian Kesihatan hari ini menasihati orang ramai supaya tidak mengambil peket minuman kopi pracampuran yang diberikan oleh orang yang tidak dikenali kerana  dibimbangi mengandungi dadah, kata menterinya Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau mengesahkan ujian analisis ke atas sampel kopi pracampuran itu, mendapati ia mengandungi  bahan kimia psikoaktif iaitu sejenis dadah, yang diberikan oleh orang yang tidak dikenali kepada dua lelaki Nepal sehingga menyebabkan mereka mengalami gejala letih yang teruk selepas meminumnya.

"Sebelum ini, kami menerima lima pesakit dan semalam dua lagi kes yang sama juga. Mereka menerima kopi daripada orang yang tidak dikenali dan mempunyai simptom yang sama, nampaknya  semacam ada sindiket. Mereka memberi peket berisi kopi yang mengandungi dadah.

Orang ramai mesti berhati-hati, jangan terima sebarang benda daripada orang yang tidak dikenali. Kami akan siasat termasuk menganalisis manakala di pihak polis perlu siasat untuk mengetahui mengenai  sumber daripada mana dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pusat rawatan perubatan holistik, di sini hari ini.

Seramai lima individu termasuk dua wanita mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang sejak Ahad hingga Selasa selepas mengalami gejala letih dan lemah yang teruk malah ada yang tidak sedarkan diri selepas dipercayai minum sejenis kopi.

Mereka yang berusia 19 hingga 62 tahun ditahan di wad untuk pemerhatian dan menjalani beberapa ujian. Tiga daripada mereka sudah dibenarkan pulang selepas keadaan mereka bertambah baik.

Dr Subramaniam berkata pihaknya menjalankan siasatan di semua peringkat termasuk kilang dan pengeluaran kopi terbabit.

Ditanya sama ada pihak kementerian akan menarik balik semua peket kopi itu yang berada di pasaran, beliau berkata tiada bukti yang menunjukkan kopi yang dikeluarkan dari kilang terbabit mengandungi bahan terlarang.

"Jadi, sehingga kami menyelesaikan siasatan, kami menasihati orang ramai supaya berhati-hati. namun kami tidak berhasrat untuk menarik balik kopi yang berada di pasaran sehingga kami mendapat bukti kukuh untuk menunjukkan bahawa pengeluarnya  bersalah," katanya.

Sementara itu mengenai kes rabies di Sarawak, Dr Subramaniam berkata kementerian mengalu-alukan langkah Jabatan Veterinar untuk mewujudkan zon bebas rabies khususnya di sempadan Kalimantan dengan memastikan anjing-anjing di kawasan itu telah menerima vaksin.

"Ini sangat mustahak kerana kita tahu daripada butiran, peratusan anjing di kawasan itu mempunyai virus rabies yang tinggi. Dulu vaksin tidak sampai kepada semua anjing di kawasan itu, jadi langkah ini akan membawa kepada pengawalan yang lebih baik," katanya. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com