Jalan Berlubang Di Pendang Punca Kerap Kemalangan


PENDANG - Keadaan jalan bertakung air ditambah dengan kedudukan di selekoh berisiko membahayakan penduduk Kampung Alor Besar.

Penduduk, Mohd Syarifudin Mustafa, 22, berkata, keadaan itu membimbangkan penduduk yang menggunakan laluan tersebut terutama waktu malam.

“Laluan tak ada lampu ni memang bahayakan penduduk apabila kemalangan kerap berlaku terutama libat kereta dan motosikal.

“Baru-baru ni kereta yang berselisih dengan motosikal tak sempat elak dan masuk dalam sawah. Nasib baik pemandu tak cedera, cuma kereta masuk bengkel,” katanya.

Menurut Fazli Shahidi, 26, musim hujan mendatangkan masalah kepada pengguna laluan tersebut.

“Bila hujan, jalan akan berselut. Kesian kat budak sekolah, kena bawa kasut dalam beg. Bila sampai sekolah baru pakai, kalau tak selut kena kasut pula,” katanya.

Tambahnya, penduduk telah mengumpulkan wang dan membaiki laluan tersebut tiga tahun lalu, tapi keadaan sama masih berlaku.

“Kami kebanyakan kerja kampung. Kalau selalu nak kutip duit baiki jalan, kami sendiri tak berapa nak mampu,” katanya.

Alias Saad, 49, pula berkata, dia sentiasa berhati-hati ketika melalui laluan tersebut.

“Dalam hati-hati pun saya pernah jatuh motosikal. Masa tu hujan, jalan licin. Saya tak nampak lopak. Mujur la cedera ringan sebab bawa motosikal perlahan saja,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi JKKK Alor Besar, Norzizan Jaafar berkata, pihaknya menerima peruntukan RM50,000 daripada Ahli Parlimen Pendang, tahun lalu.

“Saya dah baiki jalan rosak sejauh 3.5 kilometer termasuk kawasan dimaksudkan penduduk. Jalan cepat rosak sebab selalu dilalui jentera berat seperti mesin padi.

“Saya harap penduduk dapat bersabar sementara tunggu peruntukan. Kerjasama mereka amat diperlukan agar tak gunakan jalan tersebut sebagai laluan kenderaan berat,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com