Jaik Bayar Gaji Guru Kafa Kedah Dalam Masa Terdekat


ALOR SETAR - Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) memberitahu khabar gembira akan membayar gaji kepada hampir 3,000 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di negeri ini dalam masa terdekat.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, perkara itu bakal dilangsungkan sebaik sahaja peruntukan daripada  kerajaan persekutuan selesai diagihkan.

Kemudiannya ia akan terus disalurkan untuk membayar gaji guru-guru Kafa.

"Peruntukan ini kita dapat daripada kerajaan Persekutuan, jadi memang perlu tunggu tambahan pada awal-awal tahun ini. Mereka akan dapat gaji bulan Januari dan Februari tapi kita minta mereka sabar sementara peruntukan itu disalurkan.

"Kita tidak pernah lupa pada guru-guru Kafa ini dan kalau duit dapat, tak akan kita hendak simpan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai aduan guru-guru Kafa berhubung kelewatan pembayaran gaji bulan Januari yang tular di laman sosial, kelmarin.

Terdahulu, Ahmad Bashah merasmikan majlis perjumpaan  Anggota Jawatankuasa Masjid Seluruh Negeri Kedah dan pelancaran  Bantuan Rakyat Kedah (Barakah) Masjid yang turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.​​​​​​​

​​​​​​​Pada 18 Januari lalu, Ahmad Bashah memaklumkan kerajaan negeri  memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi memperkasa peranan insitusi masjid menerusi program Barakah Masjid yang diumumkan dalam pembentangan Bajet 2018.

Sementara itu, Asyraf Wajdi memaklumkan bahawa Kedah menerima peruntukan khas kira-kira RM9.8 juta daripada kerajaan persekutuan dan ia bakal disalurkan kepada imam, bilal dan siak di negeri ini.

"Kedah merupakan negeri pertama yang menerima peruntukan  daripada kerajaan Persekutuan secara rasmi hari ini.

"Kita ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana prihatin terhadap golongan ini yang berada di hadapan dalam menjaga dan menerajui institusi agama Islam," katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com