Jabatan Imigresen Tahan PATI Miliki ‘Kad Kebal’


Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi di Pandan Indah menahan sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang memiliki “kad kebal” yang kononnya boleh melindungi mereka daripada ditahan pihak berkuasa.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata dengan bayaran RM2,600, PATI boleh mendapatkan ‘kad kebal’ kononnya membolehkan mereka terlepas dari sebarang tindakan undang-undang pihak penguatkuasa.

Dalam satu operasi di sebuah kilang di Kawasan Industri Ringan, Pandan Indah kira-kira 11 pagi kelmarin, JIM menahan sembilan PATI termasuk lima wanita warga asing yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Semasa pemeriksaan dijalankan pekerja kilang tersebut telah mengemukakan ‘kad kebal’ yang kononnya dapat melindungi PATI dari ditangkap pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mustafar menegaskan bahawa JIM tidak pernah mengiktiraf atau membenarkan mana-mana pihak untuk mengeluarkan sebarang kad seperti kad kebajikan, kad imigran atau kad kebal.

Beliau berkata Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 memperuntukkan kesalahan individu yang didapati melindungi PATI di Malaysia dimana pesalah bagi perkara ini boleh dikenakan denda tidak kurang RM10,000.

Menurut Mustafar, kehadiran pasukan Imigresen di lokasi kilang tersebut tidak mendapat kerjasama dari pekerja kilang sehingga anggota operasi terpaksa memecahkan pintu masuk utama kilang.

“Sejurus pintu berjaya dibuka dan anggota memperkenalkan diri, pemeriksaan menyeluruh di kilang tersebut dilakukan. Seramai 13 orang telah diperiksa dan hasil pemeriksaan telah menahan sembilan orang, termasuk dua lelaki warga India dan warga Bangladesh dan lima wanita warga Indonesia,” katanya.

Kesemua tahanan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut manakala seorang lelaki warga tempatan yang merupakan majikan di premis tersebut turut diberikan notis supaya hadir ke Pejabat Imigresen untuk memberi keterangan.

Sementara itu, Mustafar menyarankan orang ramai dan majikan yang ingin mengambil pekerja asing supaya berurusan terus dengan JIM.

“Pihak syarikat atau majikan dinasihatkan supaya tidak mengambil jalan mudah dengan bersekongkol bersama pihak tidak bertanggungjawab. Ini juga merupakan satu amaran kepada semua majikan,” katanya.

Berdasarkan statistik JIM, Mustafar berkata seramai 1,293 majikan telah ditangkap kerana menyalahi undang-undang dan peraturan Imigresen pada tahun lepas.- Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com