Isytihar Darurat: Jika Mahathir Masih PM, Pembangkang Disumbat Dalam ISA


Tun Dr. Mahathir Mohamad kini 'boleh cakap apa sahaja' setelah menjadi ketua Pakatan Harapan dan selepas dicalonkan sebagai 'Perdana Menteri ke-7' oleh kumpulan empat parti pembangkang negara.

Jika ada tuduhan bahawa kerajaan akan mengisytiharkan darurat dan meminta orang ramai turun ke berdemonstrasi di jalan raya oleh pihak pembangkang semasa kepimpinannya dahulu, mereka mungkin akan disumbat ke dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau dikenakan tindakan kerana menghasut.

Memetik laporan portal pro-pembangkang, Malaysiakini, Mahathir berkata, rakyat Malaysia boleh berdemonstrasi jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengisytiharkan darurat untuk tidak mengadakan pilihan raya.

Namun kata Mahathir, rakyat Malaysia biasanya kurang berani berbanding rakyat negara lain seperti Brazil dan Korea Selatan, di mana demonstrasi besar-besaran berlaku untuk mendesak pemimpin negara meletakkan jawatan atas dakwaan rasuah.

"(Najib) mungkin boleh buat demikian (isytihar darurat) sebelum pilihan raya dan negara kita akan ditadbir ala Mageran (Majlis Gerakan Negara).

"Kalau ada (pengisytiharan) darurat oleh Najib, kita boleh keluar beramai-ramai setiap hari menuntut ia ditamatkan dan kembali kepada demokrasi,'' kata bekas Perdana Menteri itu.

Bagaimanapun tuduhan Mahathir itu ditempelak oleh pemimpin UMNO  yang menyifatkan kenyataan beliau itu satu tuduhan dan serangan jahat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, serangan yang dilemparkan oleh Dr. Mahathir itu adalah sangat tidak bertanggungjawab.

"Tuduhan itu merupakan serangan jahat kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan ditambah pula dengan dakwaan kita (BN) akan menipu dalam PRU-14.

"Malah, lebih tidak patut apabila Dr. Mahathir menggalakkan rakyat untuk turun berdemonstrasi sekiranya dakwaan yang dilemparkan itu berlaku," katanya seperti mana yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia semalam.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengulas kenyataan Dr. Mahathir dalam sebuah forum semalam yang tidak menolak kemungkinan pengisytiharan darurat itu boleh dilakukan selepas PRU-14 sekiranya undi rakyat tidak memihak kerajaan BN. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com