Industri Kelulut Di Padang Terap Makin Pulih


ALOR SETAR - Pengusaha madu kelulut di Padang Terap kini boleh menarik nafas lega apabila industri itu kini dikatakan semakin pulih selepas merosot pada 2016 lalu.

Menurut Mohd Riban Zainal, 42, berkata, perniagaan itu sebelum ini merosot kerana masalah cuaca yang begitu panas hingga banyak tumbuhan membekalkan bunga untuk kelulut turut rosak.

Jelasnya, disebabkan pokok bunga musnah, banyak lebah kelulut lari ke hutan bagi mendapatkan sumber makanan baharu.

"Kesannya ramai dalam kalangan pengusaha madu kelulut gulung tikar kerana hasilnya merosot.

"Semasa sebelum berlakunya perubahan cuaca panas, saya mampu kumpul madu kelulut sebanyak 350 kilogram (kg) dari 700 sarang sebulan. Bagaimanapun sejak musim panas lalu saya hanya mampu kumpul 50kg sahaja,” katanya memetik Sinar Online.

Selain itu, kekurangan bekalan madu kelulut menyebabkan perniagaan itu turut terjejas hingga gagal membekalkan kepada pengedar di seluruh Malaysia serta produk hiliran yang menjadi pendapatan sampingan.

Oleh sebab itu tidak hairanlah ramai dalam kalangan pengusaha madu kelulut hari ini terpaksa mencari perniagaan baharu selepas sarang kelulut semakin berkurangan di daerah ini.

Tambah Mohd Riban, selain masalah cuaca yang panas, serangan serangga (black soldier fly) turut memberi kesan dalam industri madu kelulut pada 2016 lalu.

“Banyak kelulut dimusnahkan serangga itu hingga menyebabkan hanya tinggal sarang sahaja.

"Serangan serangga itu gagal dikawal pada awalnya hinggalah pengusaha terpaksa mencari pelbagai jenis racun untuk membunuhnya tetapi gagal.

“Bagaimanapun masalah yang dihadapi pengusaha madu kelulut ini mendapat perhatian pihak Universiti Terengganu Malaysia (UTM) dan berjaya membantu secara teknikal dalam membasmi serangga itu,” ujarnya.

Katanya, keadaan cuaca ketika ini menyebabkan industri itu semakin pulih dan banyak sarang yang ditinggalkan selama ini sudah mulai dipenuhi dengan kelulut.

"Keadaan cuaca yang baik ini membolehkan pengusaha melakukan proses pembenihan supaya dapat menghasilkan kembali anak-anak kelulut.

“Saya menjangkakan pada tahun ini dengan cuaca yang begitu baik serta tiada lagi gangguan dari serangga mampu memperoleh sebanyak 500kg dari 300 sarang yang dihasilkan," jelasnya.

Pada masa sama, dia turut menanam pelbagai jenis pokok bunga dan herba yang dapat menjadi punca penghasilan madu kelulut.

"Antaranya pokok belimbing, air mata pengantin, pelbagai jenis pokok kelapa, misai dan ekor kucing.

"Kesemua pokok ini kini dapat tumbuh dengan baik selepas cuaca pada hari ini tidak terlampau panas seperti 2016 lalu,” katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com