Hong Kong Haramkan Penjualan Gading Gajah


HONG KONG - Hong Kong meluluskan pindaan undang-undang untuk mengharamkan urusniaga jual beli gading gajah, tindakan tegas yang disifatkan satu talian hayat untuk haiwan berkenaan.

Dalam satu pengundian di parlimen, 49 perwakilan mengundi menyokong untuk meminda undang-undang sedia ada bagi mengharamkan penjualan gading gajah dalam wilayah China menjelang 2021.

Empat perwakilan bagaimanapun menentang usul berkenaan.

Cadangan itu turut merangkumi penalti lebih ketat bagi mengekang penyeludupan gading gajah serta spesis yang diancam kepupusan.

Di bawah undang-undang baru, hukuman denda maksimum bagi kesalahan menjual gading gajah dinaikkan kepada AS$1.3 juta, sekali ganda daripada denda sedia ada, dengan penjara 10 tahun, berbanding dua tahun sebelum ini.

Aktivis haiwan liar memuji tindakan diambil pentadbiran di Hong Kong, yang merupakan pasaran gading gajah terbesar dunia.

Larangan sama sudah dilaksanakan di tanah besar China awal tahun ini.

Ia menyusul penutupan kilang dan kedai jualan gading gajah Mac tahun lalu.

Undang-undang Hong Kong sedia ada sebelum ini membenarkan penjualan gading gajah, sebelum pewartaan Konvensyen Perdagangan Antarabangsa bagi Flora dan Fauna yang diancam kepupusan (CITES).

Di bawah CITES kawal selia penjualan gading gajah hanya bermula sekitar 1970-an, sebelum larangan sepenuhnya di peringkat antarabangsa pada 1990.

Larangan penjualan gading gajah akan berkuatkuasa secara berperingkat sehingga 2021, selepas lesen peniaga tamat sepenuhnya.

Sumber: Astro Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com