Hasil Analisa, Kopi Durian Mengandungi Bendasing Disyaki Dadah


GEORGETOWN- Hasil analisa kopi segera jenama MyCafe yang dijalankan Jabatan Teknologi Makanan, Makmal Keselamatan Dan Kualiti Makanan Pulau Pinang mendapati ia mengandungi bendasing yang disyaki sejenis dadah.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, mengikut keterangan dari pegawai jabatan tersebut, kopi tersebut mengandungi dadah namun belum dikenalpasti jenisnya.

Menurutnya, hasil analisa sampel paket kopi berkenaan menunjukkan paket tersebut telah di buka dan dibungkus semula berikutan bahagian bawah paket kopi tersebut terdapat kesan koyakkan.

"Selain itu, berat paket yang dibungkus semula itu menunjukkan penambahan lebih 10 gram daripada berat asal iaitu 40 gram (kepada 50 gram). Di dalam serbuk kopi tersebut juga mengandungi bendasing berwarna hijau berbeza dengan paket asal.

"Makmal Keselamatan Dan Kualiti Makanan Pulau Pinang juga menjalankan perbandingan antara sampel kopi durian yang diminum oleh lelaki Nepal tersebut dengan paket asal dari kilang. Hasilnya terdapat perbezaan dari segi berat, bahan campuran dan pembungkusan asal serbuk kopi tersebut," katanya ketika dihubungi semalam.

Anuar berkata, pihak makmal mengesyaki bahan yang dicampur dalam serbuk kopi berkenaan merupakan sejenis dadah (yang tidak dapat dipastikan jenisnya) berdasarkan simptom-simptom yang di alami pesakit.

"Hasil siasatan, kedua-dua warga Nepal itu mengakui menerima bungkusan kopi tersebut dari seorang wanita yang tidak dikenali ketika menjalankan tugas di sebuah pangsapuri di Pulau Tikus.

"Wanita itu telah memberikan sebungkus kopi durian Mycafe yang di dalamnya terdapat 16 paket kecil. Wanita tersebut memberikan secara percuma kepada mangsa dan kemudian beredar dari situ. Mereka mengalami sakit dada dan sukar bernafas selepas dua minit meminum kopi tersebut," katanya.

Tambahnya, polis menerima laporan dari seorang pegawai perubatan Hospital Pulau Pinang (HPP) berhubung kejadian dua pengawal keselamatan yang mengalami simptom letih dan tidak bermaya teruk selepas meminum sejenis kopi, 27 Januari lalu.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan dari pegawai wanita berusia 35 tahun itu pada 30 Januari lalu, kira-kira jam 11.11 malam.

Terdahulu, video berdurasi 10 saat yang menunjukkan pegawai perubatan HPP sedang merawat dua pengawal keselamatan yang mengalami simptom letih teruk tular di media sosial.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com