Hairan Mahathir Tahu Isi Kandungan Surat Aduan Ahli PPBM Kepada ROS


Bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Hamidah Osman mempersoalkan bagaimana Tun Dr. Mahathir Mohamad boleh mengetahui isi kandungan dalam surat-surat aduan yang didakwa mempunyai ayat yang hampir sama yang dikemukakan ahli-ahli PPBM kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Ini bertenta­ngan dengan dakwaan pemimpin PPBM sebelum ini yang mengesyaki terdapat 'tangan ghaib' dalam kala­ngan ahli parti.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) tidak boleh lagi berdiam diri terhadap PPBM yang saban hari seolah-olah terlepas daripada sebarang hukuman mahupun tindakan undang-undang.

“Yang peliknya, sebelum ini ROS didakwa tidak memberikan sebarang kerjasama dengan PPBM, tetapi bagaimana Dr. Mahathir boleh tahu isi dan ayat adu­an yang dikemukakan? Adakah wujud hubungan antara dirinya dengan ROS? Ini seolah-olah satu konspirasi, ujar Hamidah.

“ROS tidak boleh berdiam diri sahaja, siasatan terperinci perlu dibuat segera, jangan bersikap ‘double standard’, sedangkan UMNO selaku parti pemerintah pun pernah diharam­kan oleh undang-undang, kenapa pula PPBM perlu dikecualikan daripada undang-undang,” katanya seperti mana yang dilaporkan Utusan Malaysia.
.
Hamidah berkata demikian susulan kenyataan bekas penyelaras PPBM Kluang, Arjuna Putra Ali mendesak ROS membatalkan PPBM jika benar parti itu tidak mengikut peraturan.

Ini  berikutan lebih 400 aduan telah dibuat kepada agensi kerajaan itu sejak Oktober tahun lalu.
Tahun lalu juga, Ang­katan Bersatu Anak Muda PPBM Pahang menggesa supaya ROS mengambil tindakan terhadap PPBM setelah dilaporkan sayap pemuda PPBM itu sebenarnya tidak ada dalam perlembagaan parti.

Sementara itu, bekas Ketua Penaja PPBM Bahagian Batu Gajah, Mohd. Shirin Adenan menganggap ROS berhak membatalkan PPBM berdasarkan salah laku yang berlaku dalam parti itu.

“Sepatutnya pemimpin-pe­mim­pin tertinggi seperti setiausaha agung parti memainkan peranan, beliau lebih arif dan tahu mengenai perlembagaan parti, ini tidak, asyik dakwa ROS dikawal kerajaanlah, ROS sengaja melengah-lengahkanlah, padahal mereka lupa terhadap dasar perlembagaan parti dan tanggungjawab sendiri.

“Sebagaimana parti-parti lain di negara ini, mereka harus ikut perlembagaan yang ditetapkan ROS seperti bajunya, logonya, warna­nya, tidak boleh salahkan ROS semata-mata, jangan sengaja mewujudkan apa yang tidak ada dalam perlembagaan parti,” katanya.

Beliau turut menegaskan jika ia berterusan, ROS mempunyai hak untuk membatalkan PPBM mengikut peraturan yang telah ditetapkan selama ini.

Sebelum ini, bekas pengasas bersama PPBM, Kamarul Azman Habibur Rahman ini mendesak ROS berlaku tegas dalam isu parti itu yang didakwa melanggar perlembagaan.

Beliau meminta agensi itu supaya tidak takut dan terperangkap kepada permainan Dr Mahathir. 

“ROS tidak boleh amalkan sifat pilih kasih hanya disebabkan Dr Mahathir peneraju PPBM dan Pakatan Harapan maka layanan istimewa diberikan. Sepatutnya ini tidak boleh berlaku.

“Saya berpendapat Tun Mahathir  sedar bahawa hayat PPBM tidak lama kerana parti itu melanggar peraturan atau perlembagaannya. Jadi beliau sekarang cuba salahkan pihak lain kononnya ada pihak yang cuba sabotaj,” kata Kamarul Azman. - Kedahnews.com 

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com