GSC Perkenal Pawagam 4DX Pertama Di Malaysia


GSC menawarkan pengalaman tontonan yang dipertingkatkan menerusi pelbagai kesan khas yang disediakan menerusi teknologi 4DX di Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Syarikat pawagam terkemuka, Golden Screen Cinemas Sdn. Bhd. (GSC) menawarkan pengalaman baharu kepada pengunjung apabila memperkenalkan pawagam premium berformat 4DX yang pertama di Malaysia di Paradigm Mall dekat sini.

Menurut Ketua Pengarah Eksekutifnya, Koh Mei Lee, 4DX yang merupakan hasil teknologi Korea Selatan itu menawarkan pengalaman tontonan yang dipertingkatkan menerusi pelbagai efek istimewa.

“Pawagam premium 4DX menyediakan lebih 20 kesan khas termasuk getaran, pergerakan, pencahayaan dan kesan angin yang pastinya memberi penonton rasa teruja sepanjang menonton filem pilihan mereka.


“Ini seterusnya memberikan penonton suatu pengalaman yang pasti tidak dapat dilupakan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini semalam.

Mei Lee berkata, selain 4DX, GSC Paradigm Mall yang mempunyai lebih 16 skrin serta 2,000 tempat duduk itu turut menyediakan format pawagam premium GSC Maxx.

“GSC Maxx mempunyai skrin paling besar iaitu selebar 21.5 meter dengan penambahan audio secara menyeluruh melalui sistem audio terbaharu Dolby Audio.

“Sistem audio ini merupakan hasil kombinasi daripada beberapa komponen audio dilengkapi perumah IMS3000 dan sistem pembesar suara secara menyeluruh dan sistem Dolby Audio 7.1,”katanya.

Melihat bandar raya ini sebagai satu lokasi penting bagi GSC, Mei Lee berkata, pihaknya mempunyai perancangan untuk membuka lebih banyak cawangan di Johor selepas pembukaan di Paradigm Mall.

Namun, ujarnya, ia bergantung kepada permintaan dan pembukaan pusat beli-belah di negeri ini.

GSC, yang merupakan anak syarikat PBB Group Bhd., mempunyai 344 skrin digital di 36 lokasi di Malaysia, selain 82 skrin di 13 lokasi di Vietnam menerusi kerjasama dengan Galaxy Studio.

Sumber: Kosmo

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com