Gaji Bocor Punca Kedah Kalah Kepada Perak?


ALOR SETAR - Pertanyaan adakah penyebaran maklumat gaji pemain menjadi faktor kekalahan pasukan Kedah kepada Perak pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman apabila tewas 1-3 kepada Perak semalam.

Menurut sumber, perkara itu menjurus kepada prestasi buruk skuad Ramon Marcote yang dipamerkan semalam apabila masing-masing pemain dilihat seakan hilang fokus dalam mencari gol.

Sementara itu, Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) memandang serius penyebaran maklumat gaji pemain skuad Helang Merah yang tular di media sosial itu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KFA, Yusdi Madeonus Mohamad Yunus, berkata pihaknya akan menyiasat kesahihan maklumat yang disebarkan itu sebelum mengambil tindakan sewajarnya.

"Sebagai CEO yang baharu, saya mengambil serius mengenai penyebaran dokumen gaji membabitkan pemain di laman sosial walaupun kesahihannya dilihat agak meragukan.

"Namun, saya kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang mendedahkan perkara sulit terutama berkaitan gaji pemain.

"Memang berita yang tular dalam Internet sukar dibendung, malah setiap hari kita didedahkan dengan banyak berita yang kurang sahih seperti berlaku dalam hal politik dan sebagainya," katanya memetik BH Online.

Yusdi yang enggan mengulas lanjut perkara tersebut sehingga siasatan dalaman pihak KFA selesai.

"Buat masa ini saya tak dapat beri ulasan lebih lanjut namun saya mengambil sepenuh perhatian mengenai perkara ini," ujarnya. 

Penyokong Kedah semalam turut dikejutkan dengan penyebaran sekeping kertas kononnya senarai gaji bulanan yang diterima pemain pasukan itu di media sosial.

Maklumat yang tersebar dengan tajuk 'Kontrak Pemain 2018' merujuk kepada gaji tahun lalu dan musim ini yang diterima 29 pemain Liga Super Kedah yang mengikat kontrak dengan KFA.- Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com