Filem ‘Padmaavat’ Dilarang Ditayangkan Di Malaysia


PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan Lembaga Penapis Filem (LPF) membuat keputusan untuk tidak meluluskan tayangan filem ‘Padmaavat’ di Malaysia.

Ia ekoran jalan cerita filem itu memberi gambaran buruk terhadap Islam melalui watak seorang Sultan di sebuah Kerajaan Islam di India dalam era Kesultanan Khilji iaitu Sultan Alauddin Khilji.

“Watak Sultan Alauddin Khilji digambarkan sebagai seorang pemerintah yang beragama Islam tetapi mempunyai perangai dan tingkah laku yang buruk.

“Baginda juga digambarkan sebagai seorang Sultan yang angkuh, kejam, tidak perikemanusiaan, licik pelbagai tipu helah, tidak menepati janji dan tidak amal ajaran Islam sepenuhnya,” kata KDN dalam kenyataan media semalam.

Bagaimanapun, KDN memaklumkan, syarikat pengedar filem terbabit boleh mengemukakan rayuan untuk mempertimbangkan semula keputusan panel tapisan filem tersebut.

Namun, Jawatankuasa Rayuan Filem (JKRF) pada 30 Januari membuat keputusan mengekalkan keputusan LPF tidak membenarkan tayangan Padmaavat di Malaysia (Tidak Lulus Untuk Tayangan – TUT). – Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com