Ekspo Muafakat Usaha Kerajaan Bangunkan Kedah


ALOR SETAR – Ekspo Muafakat Kedah yang akan diadakan pada 24 Feb hingga 3 Mac depan dilihat sebagai satu platform terbaik kepada rakyat untuk melihat usaha yang dilakukan kerajaan bagi membangunkan negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata melalui program itu mereka boleh melihat sendiri usaha pembangunan yang dilakukan kerajaan negeri selama ini selain pembangunan yang sedang berlangsung dan perancangan masa depan.

“Banyak perkara yang tidak benar telah ditular di laman sosial, jadi melalui ekspo ini ia memberi peluang kepada rakyat Kedah serta masyarakat luar untuk datang dan melihat sendiri apa yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri.

Melalui ekspo ini juga, rakyat Kedah terutamanya golongan muda boleh memberi pandangan dan idea mengenai apa yang mereka mahukan untuk negeri ini pada masa depan. Cara ini dapat membantu supaya mereka juga turut bangga dengan apa yang berlaku di negeri Kedah,” katanya kepada pemberita selepas majlis pra pelancaran dan pameran Ekspo Muafakat Kedah di sini semalam.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka merasmikan ekspo itu yang akan diadakan di perkarangan Stadium Darul Aman pada 24 Feb ini manakala Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan merasmikan majlis penutupan program itu pada 3 Mac.

Ahmad Bashah berkata ekspo yang julung kali diadakan itu akan melibatkan 199 agensi dan jabatan, 15 acara utama, 119 acara sampingan dan 20 kluster antaranya Kluster Pameran Diraja, Kluster Kewangan dan Kluster Generasi Muda.

Terdahulu, Ahmad Bashah yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah (UniSHAMS) menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dengan UniSHAMS mengenai Biasiswa Penuh Pendidikan LZNK.

LZNK diwakili Ketua Pegawai Eksekutif LZNK Syeikh Zakaria Othman manakala UniSHAMS diwakili Rektor UniSHAMS Profesor Datuk Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti.

Melalui MoU itu, 100 anak asnaf yang cemerlang dalam bidang akademik berpeluang mendapatkan pembiayaan penuh pengajian bagi menyambung pengajian peringkat tinggi di UniSHAMS dalam lapan program pengajian yang ditawarkan. –Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com