Dulu 'Yana' Kini Harry...


SIAPA sangka Harry Zulkifli, 26, yang dulu pernah hidup dalam dunia maknyah kini kembali berubah kepada fitrah.

Tatkala dulu dia lebih selesa dikenali sebagai' Yana',  kini dia mahu melupakan selamanya gelaran wanita itu dan lebih selesa disapa dengan nama lelaki iaitu Harry.

"Dua tahun saya ambil masa untuk berubah, ini berkat doa keluarga terutama mak dan dorongan kawan-kawan," kongsinya dalam Program Live FB Sinar Harian di Kumpulan Media Karangkraf semalam.

Harry yang menyatakan kekesalan dengan perlakuan lamanya, kini bertekad untuk kembali menjadi lelaki sebenar.

"Saya pasak tekad, moga ALLAH SWT kuatkan saya untuk terus menjadi seperti ini dan tidak kembali kepada perbuatan lama saya," katanya.

Sementara itu menyingkap kembali sejarah hitamnya, Harry berkata, dia yang sejak berusia empat tahun mempunyai naluri kewanitaan semakin 'menjadi-jadi' perubahannya selepas hidup bebas di Kuala Lumpur.

"Keluarga saya memang perasan mengenai saya, dulu saya selalu curi-curi pakai celak dan bersolek dan makin melarat tatkala usia menginjak remaja dan mula tersasar jauh setelah hidup bersendirian di Kuala Lumpur ketika itu," katanya.

Ketika di ibu negara, dia mulai berani pergi ke kelab malam dan menghabiskan masa di tempat tidak berfaedah.

"Duit saya sentiasa tidak cukup... hinggalah saya tersedar satu ketika hidup saya semakin jauh daripada keluarga dan agama," katanya sedih.

Dalam pada itu, bercerita mengenai ikisah penghijrahannya, detik penghijrahan itu bermula selepas tertarik dengan akhlak sahabatnya yang mula menarik untuk berubah.

"Terdetik untuk saya berubah dua tahun lepas. Saya tertarik dengan akhlak yang elok daripada seorang sahabat, dia bimbing dan tarik saya untuk bertemu dengan orang warak dan alim.

"Daripada  itu saya mula dekat dengan agama dan mula tersedar bahawa ALLAH SWT menciptakan saya sebagai lelaki... memang tahun pertama itu susah untuk istiqomah, namun Alhamdulillah saya semakin baik dan makin berubah," katanya.

Anak  kelahiran Kuching Sarawak ini berkata, antara pendukung kuat untuk dia berubah juga adalah ibu dan kakaknya.

"Baru-baru ini saya balik kampung, mak cakap inilah anak lelaki sebenarnya, dia gembira sangat.

"Kongsi mak, dia tidak putus-putus berdoa untuk saya berubah menjadi lelaki sebenar," katanya yang tinggal bersama ibunya selepas ibu bapanya bercerai.

Harry yang kini bekerja sebagai Penolong Pegawai Perubatan di sebuah Hospital di Negeri Sembilan, berkata, selepas berubah dia kini semakin tenang.

"Alhamdulillah ketenangan yang saya tidak boleh bayangkan, saya boleh solat dengan selesa dan ia betul-betul memberi kebahagian kepada saya," katanya.

Kongsinya lagi selepas dia berubah dia kini lebih dekat dengan keluarga.

"Dulu saya selalu abaikan panggilan mak, ada sahaja alasan untuk saya lari daripadanya, hinggakan kalau berbual pun diakhirnya kami akan bergaduh.

"Tapi, Alhamdulillah, sekarang saya kerap balik kampung dan akan hubungi ibu selalu untuk maklum tentang hari-hari saya," katanya.

Nasihat buat teman-teman

"Golongan pondan boleh berubah, cuma kita masyarakat janganlah memandang serong, beri kata positif dan dorongan," katanya.

Katanya, keluarga juga perlu menjadi pemangkin semangat yang utama buat golongan ini.

"Jangan buang mereka, tak mengaku anak... saya minta jasa baik ibu dan ayah jangan buang mereka," katanya.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com