Dua Lelaki Punca Letupan Bunga Api Di Sungai Petani Didenda RM4,000


SUNGAI PETANI - Dua lelaki didenda RM4,000 dan penjara empat hari selepas mengaku salah mengakibatkan letupan bunga api semasa perarakan sempena Thaipusam, Khamis lalu.

Tertuduh, V Indran, 25, dari Kampung Pengkalan Lebai Man dan S Pubalan, 25, dari Kampung Sungai Batu, dituduh menyebabkan kecederaan ke atas S Vasantha, 55; Savinthra Ranjeet Kumar, 11; D Ranjeet Kumar, 38 serta N Murugan, 60, dalam empat pertuduhan berasingan.

Perbuatan itu dilakukan pada 1 Februari lalu, kira-kira jam 8.29 malam di hadapan Restoran Vetrivel Pekan Lama Jalan Kuala Ketil, di sini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan perbuatan membakar mercun secara gopoh atau cuai, yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.

Tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 337 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Geetha Jora Singh di hadapan Majistret Mohamad Fared Abd Latif.

Peguam tertuduh, R Babunaidu memohon mahkamah meringankan hukuman kerana tertuduh tidak berniat melakukan perbuatan itu dan hanya mahu bermain bunga api sambil meraikan perarakan 'chariot'.

Babunaidu menjelaskan, daripada 130 das percikan bunga api yang dibeli daripada pengedar, hanya 20 das disaksikan meletup di udara, sementara yang lain rosak sehingga mencederakan ramai orang di luar pengetahuan tertuduh.

Tertuduh juga dikatakan insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan, selain tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan mahu hukuman sewajarnya berdasarkan perbuatan tertuduh yang membahayakan nyawa orang ramai dan menyebabkan kecederaan sehingga ada ditahan di wad.

Pendakwaan juga percaya, hukuman perlu mengambil kira kepentingan awam untuk memberi pengajaran, selain menunjukkan mahkamah tidak akan bertolak ansur dengan kesalahan seperti itu pada masa hadapan.

Setelah mendengar hujahan pendakwaan dan peguam bela, Mohamad Fared menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau dua bulan penjara dan penjara selama empat hari dari tarikh ditangkap bagi setiap pertuduhan.

Hukuman penjara dijalankan serentak bagi semua pertuduhan.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com