Dua Lagi Dimasukkan Ke Hospital Lepas Minum Kopi Dicampur Dadah


PULAU PINANG – Dua lagi individu dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini selepas meminum kopi yang dipercayai dicampur dadah.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar ketika mengesahkan perkara itu berkata, dua lelaki itu ialah seorang warga Bangladesh yang menerima rawatan Khamis lalu manakala seorang lagi warga tempatan yang dimasukkan ke HPP kira-kira pukul 2.30 petang kelmarin.

Menurut beliau, kedua-dua lelaki berkenaan bekerja sebagai pemandu dan kelindan lori kepada sebuah syarikat perkhidmatan kutipan sampah di sini.

“Peket kopi itu dijumpai warga Bangladesh berkenaan ketika memungut sampah sebelum memberikannya kepada rakannya.

“Kita telah menghubungi majikan kepada pekerja ini dan mengarahkan mereka menyerahkan kopi yang diambil untuk siasatan lanjut,” katanya dipetik Utusan Online.

Ditanya sama ada kopi yang diminum kedua-dua mangsa itu adalah sama dalam kejadian sebelum ini, Anuar berkata, kopi itu adalah daripada jenama sama namun berbeza perisa.

Minggu lalu lima individu menerima rawatan di HPP, selepas minum sejenis kopi campuran segera.

Video beberapa mangsa yang mengalami gejala lemah dan letih keterlaluan selepas minum kopi berkenaan viral di media sosial.

Kesemua mereka mendakwa mendapatkan kopi itu yang diedarkan secara percuma oleh individu tidak dikenali termasuk yang didermakan di tokong. 

Sumber – AntaraPos

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com