DAP Beri 'Amaran' Pada PPBM Agar Tidak Melampau


Kata dua dan sindiran tajam DAP terhadap  Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) negeri Selangor  supaya tidak melampau dalam menuntut kerusi tentunya terkena juga kepada batang hidung Pengerusi  PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad. 

Jika DAP sudah memberi 'amaran' demikian, ini  bermakna yang menguasai atau mengetuai Pakatan Harapan adalah DAP walaupun yang menjadi Pengerusi gabungan empat parti pembangkang ialah Dr. Mahathir.

Kenyataan pemimpin DAP itu memperlihatkan parti berkenaan tidak lagi menghormati Pengerusi Pakatan Harapan yang merupakan calon Perdana Menteri gabungan pembangkang  jika menang pilihan raya umum akan datang.

Semalam Naib Pengerusi DAP Selangor, Datuk Teng Chang Khim menyindir PPBM Selangor  dengan mendakwa parti  cuba menunjukkan taring walaupun ia parti baharu.

"Biasalah orang baru memang macam itu, sentiasa mahu tunjuk taring. tetapi lama-kelamaan mereka akan tunduk kepada keputusan yang sudah disepakati sesama parti dalam Pakatan Harapan, katanya seperti yang dilaporkan oleh MalaysiaGazette.

"Saya yakin perkara itu hanyalah permulaan bagi Bersatu (PPBM), tetapi lama-kelamaan mereka akan terima keputusan pucuk pimpinan yang akan mengambilkira kepentingan semua parti komponen lain dalam pembahagian kerusi,” katanya.

Teng menyebut perkara itu semasa menghadiri sidang media pada Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina semalam.

Kenyataan pemimpin DAP merujuk kepada  PPBM Selangor bertegas mahu bertanding di 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi UMNO pada PRU13 lalu meskipun ia mendapat bantahan daripada PKR.

PPBM Selangor juga enggan menerima keputusan dibuat oleh PH Selangor dan mendesak supaya diberikan lebih kerusi lagi.

Dr. Mahathir semasa Konvensyen Pakatan Harapan Pulau Pinang sebelum ini juga mahu ahli parti memberi tumpuan kepada kepada kemenangan dan bukannya terlalu setia dengan parti masing-masing.

Namun semua nasihat Dr. Mahathir itu bagai tidak dipedulikan oleh ahli dan pemimpin parti komponen dalam Pakatan Harapan kerana mereka masih belum capai kata sepakat walaupun tempoh masa yang panjang diberikan.- Kedahnews.com 

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com